Saturday, December 10, 2011

JANGAN BERKIRA SANGAT...

“Abang tak adil" , bentak seorang isteri. "Selama ini saya rasa lebih banyak bertolak ansur dari abang" Tambahnya lagi. Entah angin kus-kus mana yang menyebabkan dia naik angin pagi-pagi lagi. Selama ini suaminya tidak pernahpun mengabaikan tanggungjawab asasinya sebagai seorang suami. Suaminya memang baik, soleh dan orang masjid. Cuma kadangkala suaminya macam buat-buat tak faham dengan keperluan rumah yang semakin bertambah. Sudah nak masuk tahun baru, beban kewangan pasti akan bertambah dengan bermulanya musim persekolahan baru. selalunya si isterilah yang terpaksa topup sana-sini sebab gajinya lebih besar dari gaji suaminya.


Itu mungkin kisah kecil rumahtangga yang biasa terjadi. Isteri sering mengeluh dengan sikap suami. Kadangkala suami pula mengeluh dengan kekurangan isteri. Andai kedua-dua pasangan tidak mampu bertolak ansur dan kekal mengharapkan kesempurnaan pada pasangan masing-masing, masalah kecil akan bertukar menjadi besar dan lama kelamaan bertukar menjadi barah yang mampu menggugat kerukunan rumahtangga.

Sebenarnya rumahtangga yang kita bina ada tujuan murninya. Sesuai dengan objektif kita dijadikan oleh Allah untuk beribadah kepadanya, maka rumahtangga adalah medan ibadah. Melalui kebaikan yang kita sumbangkan kepada pasangan dan ahli keluarga, kita akan dikurniakan pahala ibadah. Kewujudan pasangan dan ahli keluarga adalah sebab duniawi yang melayakkan kita dapat pahala apabila berbuat baik dengan mereka. Mana mungkin seorang wanita dapat pahala taat, pahala kebaktian, pahala masak dan pahala layanan bilik tidur kalau dia tidak ada suami. Begitu juga lelaki tidak akan dapat pahala kepimpinan, pahala infaq, pahala letih bekerja dan pahala ringan tulang kalau ia tidak memiliki isteri. Semua kurniaan Allah itu cuma diberikan kepada orang yang berunahtangga dan kewujudan pasangan adalah sebab untuk melayakkan kita memperolehinya.

Setiap pasangan usah berkira sangat sehingga setiap kebaikan di kira dengan calculator untuk mengetahui pulangan yang akan diperolehi. Jadikanlah rumahtangga medan untuk pasangan berlumba-lumba kumpul kebaikan, pahala dan anugerah dari Allah SWT. Andai kita mampu memberi lebih itu tandanya Allah hendak tinggikan darjat kita mengatasi pasangan kita. Mungkin juga dengan kelebihan amal yang kita ada Allah nak delete kekurangan dan dosa masa silam kita. Jadi janganlah berkira sangat dan kurangkan bersungut. Anggaplah anda telah mampu melaksanakan firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُواْ الْخَيْرَاتِ

Ertinya : “dan berlomba-lombalah dalam mengerjakan kebajikan” QS Al Baqarah 2:148



1 comments:

  • Amin Rox says:
    December 10, 2011 at 12:40 AM

    Pemuda teruna tersenguk2 baca penulisan ini. hehe. Mencari setitis pengalaman.

    Salam dari bumi Edinburgh.
    ISMA Scotland.
    Amin Rukaini