Tuesday, February 15, 2011

MAK! BAPA!...AKU NAK KAHWIN....(1)



Akhir-akhir ni banyak betul soalan yang diajukan kepada ku mengenai perkahwinan ketika masih belajar. Hampir semua soalan datang dari siswa siswi Universiti. Eloklah aku tulis tajuk khas tentang masalah ini supaya tak perlu aku menjawab berulang kali. Aku tahu setiap orang mungkin keadaannya berbeza dan jawapannya juga sepatutnya berbeza. Tapi apa yang akan aku utarakan sekadar pandangan peribadi yang situasinya hampir sama dengan situasi yang pernah aku hadapi….


Ketika balik bercuti tahun 2 Universiti al-Azhar, aku pernah berkata kepada mak dan bapa aku: “mak, bapa…apa pandangan kalian kalau aku kahwin waktu tahun akhir nanti?”. Terkejut mak bila dengar soalan aku. Maklumlah akulah anak yang diharapkan oleh keluarga untuk membantu mereka bila berjaya kelak. Mak aku menjawab: “ Nak kahwin macamana, keluarga kita ni miskin, rumahpun buruk, malu kalau nak terima menantu”. Memang rumah kami amat dhaif waktu itu. Cuma berdindingkan kulit kayu dan beratapkan daun nipah. Serios mak aku menjawab sedang bapa aku berdiam diri. Soalan tu sebenarnya sekadar nak ‘test’ pandangan ibubapaku. Akupun waktu itu belum ada calon lagi. Tapi dari jawapan ringkas mak aku, aku dah tahu apa yang perlu aku buat kalau nak kahwin.

Begitulah juga sikap dan pandangan kebanyakkan ibubapa lain apabila anak mereka yang masih belajar menyatakan hasrat untuk berkahwin. Jawapan mereka hampir sama..tamat belajar dulu, dapat ijazah, cari pekerjaan dan senangkan hidup keluarga. Bagi mereka anak-anak yang berada di Universiti merupakan aset keluarga yang telah dibela dan dibesarkan begitu lama. Mereka bimbang hanya dengan perkahwinan, hasrat mereka selama ini hancur berkecai.

TAPI AKU PERLU KAHWIN PAK!

Pelbagai alasan yang dijadikan sandaran oleh pelajar untuk mewajibkan dirinya berkahwin. Ketika di Universiti al-Azhar dulu ada seorang kawan aku yang belajar di Maahad Qiraat Syubra meminta ibubapanya membenarkan ia berkahwin. Mula-mula ibubapanya keberatan. Maklumlah baru beberapa bulan sahaja sampai di sana. Alasannya, ia sukar menjaga al-Quran yang telah ia hafaz dan sukar mengikuti pelajaran. Kebetulan ayahnya seorang tok guru pondok akhirnya memberikan keizinan. Ada juga yang memberi alasan untuk memelihara maruah diri dan menjaga iman, alasan yang sering digunakan oleh pelajar-pelajar yang belajar di negara-negara barat. Maklumlah kehidupan masyarakat di sana amat terbuka. Pergaulan lelaki dan perempuan tiada batasan.

Alasan paling kuat yang menyebabkan siswa dan siswi ingin berkahwin kerana mereka sudah terlanjur dan…tutttttt..Aku pernah juga mengurus kes-kes begini. Selalunya dalam keadaan begini ibubapa sudah tidak ada pilihan lain, mereka terpaksa memberi keizinan anak-anak mereka berkahwin, kalau tidak mereka akan berhadapan dengan cercaan masyarakat.

Bagi siswa-siswi yang hidup dalam lingkungan tarbiah dan memahami peranan rumahtangga dalam dakwah, alasan mereka berkahwin mungkin berbeza. Perkahwinan bagi mereka adalah pelengkap tarbiah dan tanda kesungguhan mereka dalam dakwah. Rumahtangga bagi mereka adalah medan perjuangan. Mereka ingin berkahwin dalam usia muda untuk memastikan hatinya terus bersih dan berumahtangga ketika belajar juga menjadi medan latihan berumahtangga secara praktikal. Tidak ada orang yang boleh mengaku yang ia benar-benar mahir dalam selok belok rumahtangga. Kematangan seseorang dalam berumahtangga bergantung pada pengalaman. Orang yang berkahwin awal, pengalamannya lebih luas berbanding dengan orang yang kahwin lewat.



TAPI..LAYAKKAH AKU KAHWIN?

Perkara pertama yang perlu anda nilai ketika ingin berumahtangga, kemampuan metarial. Mampukah anda memberi nafkah kepada pasangan setelah berkahwin nanti? Atau masih bergantung pada kantung ibubapa?

Andainya anda ada sumber mencukupi untuk menyara keluarga seperti biasiswa dan pinjaman anda memadai untuk membayar sewa rumah, perbelanjaan makan-minum dan pengajian…anda hampir layak untuk berkahwin. Kalau perkara ini tidak diselesaikan dari awal, pasti ia akan menganggu pelajaran anda dan pasangan anda. Inilah yang paling ditakuti oleh ibubapa dan memang tidak sepatutnya ini berlaku kerana matlamat awal anda masuk ke universiti ialah untuk belajar dan bukannya berkahwin!.

Sumber kewangan juga kadangkala mencukupi apabila dicampur antara biasiswa suami dan biasiswa isteri. Walaupun mungkin tak mampu hidup mewah, tapi setelah berumahtangga pasangan pelajar perlu duduk serumah. Ini lebih menjimatkan perbelanjaan. Ini bagi pasangan yang belajar seuniversiti atau tinggal berdekatan. Dalam tempoh ini, belajarlah hidup susah dan gunakan sumber yang ada untuk perkara-perkara yang perlu sahaja.

Bagi pelajar yang masih bergantung pada kantung ibubapa, mereka perlu berbincang baik-baik dengan mereka. Jangan sampai perkahwinan kalian nanti menambah beban ibubapa. Itu akan membenarkan teori bahawa anda belum dewasa dan belum matang untuk berumahtangga. Kalau anda ingin berkahwin juga, anda mesti sanggup mencari sumber kewangan tambahan seperti bekerja part-time atau berniaga kecil-kecilan.

Perkahwinan tidak perlu tunggu kita kayapun baru nak berkahwin. Itu pemikiran materialistik orang sekarang. Ingin segala-galanya lengkap baru hendak berkahwin. Bila sudah tiba masanya, usia sudah lanjut. Waktu itu berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pasangan. Akhirnya bagi yang nak berkahwin juga, terpaksalah ia 'rembat' siapapun yang datang walau tidak memenuhi syarat yang ia inginkan. Ada yang akhirnya memilih hidup membujang sampai ketua, tapi sayang ia tidak melengkapkan personaliti kejadian ia sebagai manusia. Allah bukan hanya jadikan kita sebagai manusia tunggal, tapi ia ingin kita menjadi suami, isteri, bapa, ibu, nenek, datuk….untuk melengkapkan peranan kita sebagai khalifah Allah. Bahkan bagi mereka yang memahami manhaj Rasulullah SAW dalam dakwah, berumahtangga adalah asas utama dalam dakwah. Kahwin itu Sunnah Nabi.

Persiapan kedua, ialah persediaan dalaman anda. Perhatikan bagaimana kehidupan orang sekeliling anda yang telah berumahtangga. Jangan lihat sudut manisnya sahaja. Kena teliti juga sudut pahitnya. Nilai diri anda bila berhadapan dengan situasi begitu mampukah anda menghadapinya?

Tanya diri anda, untuk apa sebenarnya berumahtangga? adakah sekadar untuk memenuhi keperluan seks muda anda secara halal? Memang perkahwinan menghalalkannya tetapi rumahtangga bukan hanya seks sahaja. Seks satu sudut sahaja dari ratusan tanggungjawab lain yang akan anda pikul apabila bergelar seorang suami atau isteri. Atau, anda berkahwin untuk mengotakan janji cinta anda pada si dia? Memang perkahwinan adalah bukti sebenar cinta. Kata-kata cinta yang diucapkan di luar alam perkahwinan itu sekadar gula-gula pemanis mulut. Tak mampu dibuktikan kecuali setelah berumahtangga. Mampukah pasangan anda menunaikan semua beban rumahtangga sebagai tanda cinta sejatinya kepada anda? Ketika anda berduka, kekurangan segalanya, mampukah ia mendahulukan diri anda sebelum dirinya? Itulah bukti cinta sejati.

Eloklah kalau sudah ada 'niat' berumahtangga sering-sering berkunjung ke rumah orang yang telah berumahtangga. Minta pandangan dan nasihat mereka khususnya keluarga yang anda kagumi kerukunannya. Berbincang dengan orang yang masih bujang, tua manapun usianya hanya membuang masa. Mereka itu pandai berteori sahaja. Kalau mereka faham rumahtangga itu apa, pasti mereka sudah lama mendirikannya.

2 comments:

  • deena farhana says:
    February 15, 2011 at 7:23 PM

    slm ust..

    trm ksh ziarah blog sy..

    inshaallah akan selalu baca entri ust..

    slm buat zaujah dan keluarga ust semua, jemput dtg kota marudu lagi:)

  • N@D says:
    March 31, 2011 at 8:00 PM

    assalamualaikum, sekadar bertanya, apakah hukum nikah bagi mereka yang takut terlanjur?