Monday, July 12, 2010

MAHASITUA?

Taklimat untuk pelajar Pasca-Siswazah di FPI, UKM

Setelah bertahun-tahun menjadi pensyarah di dua buah universiti tempatan dan sebuah kolej swasta, akhirnya pada 6/7 yang lalu rasmilah aku bergelar seorang pelajar semula. Tersenyum aku sendiri bila memikirkan bagaimana setelah bertahun, aku terpaksa beratur semula untuk mendaftar. Mendaftar ke sana sini....Mengikut sahaja arahan pihak Universiti untuk beratur, menghadiri sessi penerangan, membuat kad matrik dan lain-lain. Cuma yang tak ada bagi pelajar pasca-siswazah ialah minggu orientasi. Beberapa hari sebelum pendaftaran, aku telah cuba menyediakan persiapan dalaman untuk kembali menjadi pelajar semula. Memang tak mudah sebenarnya nak ubah persepsi diri sendiri dari seorang pensyarah menjadi seorang pelajar...


Aku rasa dah cukup tua untuk belajar semula, rupanya ada beberapa orang lagi yang sama-sama mendaftar lebih tua dari aku. Bahkan ketika beratur ada beberapa pelajar perempuan yang meminta izin kepada pegawai yang menguruskan kemasukan pelajar pasca-siswazah agar ia diberikan keizinan untuk mendaftar dahulu kerana ia sedang sarat mengandung. Benarlah kata-kata mashyur dalam kalangan penuntut ilmu: “Tuntutlah ilmu dari alam buaian hingga ke liang lahad”.

Memang benar, usia muda merupakan masa yang paling sesuai untuk menguasai ilmu. Ketika itu akal masih bersih, hidup masih simple, tidak complicated, tak banyak urusan yang perlu difikirkan…waktu ini proses menguasai ilmu lebih mudah. Berbeza kalau orang sudah berusia. Kata Saidina Ali RA: “Hati orang muda seperti bumi yang kosong, apapun yang dicampakkan ke atasnya, ia akan menerimanya (tumbuh)”.

Sering aku berkata kepada pelajar ku yang masih muda supaya menggunakan ruang masa yang ada dan usia muda untuk mengusai pelbagai jenis ilmu. Cemerlangkan diri dan akademik. Semua itu akan menjadi suluh dan modal berharga bila sudah terjun ke medan sebenar kehidupan. Jangan habiskan usia muda dengan mengejar keseronokan. Bukan apa, bila sudah berusia, proses menuntut ilmu akan bertambah sukar. Fikiran tidak lagi terfokus pada pelajaran kerana komitmen hidup terikat dengan pelbagai tanggungjawab.

Ini tidak bererti menuntut ilmu perlu dihentikan apabila usia sudah meningkat, bahkan menuntut ilmu waktu itu amat perlu untuk mendewasakan pengetahuan. Inilah waktunya memprofesionalkan pengetahuan. Zaman pengkhususan dan membentuk kepakaran. Mungkin tahap ini aku berada.

Apapun kepada pelajar tua seperti aku, jangan kecewa dek kekangan usia, dengarlah nasihat Khalifah al-Ma’mun kepada Mansur bin al-Mahdi yang telah berusia ketika ia enggan duduk dalam majlis ilmu kerana telah berusia, kata al-Ma’mun: “Demi Allah, sesungguhnya engkau mati dalam keadaan menuntut ilmu jauh lebih baik dari engkau berterusan hidup dalam kejahilan” (Tarikh Dimasq: 250/60). al-Beiruni masih sempat bersoal jawab tentang hukum fekah dengan Abu al-Hasan Ali bin Isa sebelum ia meninggal dunia. Bila Abu Hassan menampakkan keengganannya untuk berbincang kerana kesihankan al-Beiruni yang sedang tenat, al-Beiruni berkata kepadanya: “Wahai orang ini, aku meninggalkan duni dalam keadan aku tahu hukum masalah ini lebih baik dari aku meninggalkan dunia dan aku jahil mengenai hukumnya”.

Mudahan bagi pelajar tua sepertiku, menyambung pelajaran dalam usia begini bagi memenuhi kata-kata Rasulullah SAW:

لن يشبع مؤمن من خير حتى يكون منتهاه الجنة

“Tidak akan kenyang seorang mukmin itu sehinggalah penyudahnya ialah syurga”. (HR Tarmizi: Hasan)

Baginda juga bersabda:
“Dunia ini dilaknat dan dilaknat apa yang ada padanya kecualilah mengingati Allah, orang berilmu dan orang yang menuntut ilmu” (HR Tarmizi)

Sekurang-kurangnya bagi si bapa yang menyambung pelajaran seperti aku, mudahan mampu memotivasi anak-anak sendiri untuk mencari kejayaan setinggi mungkin.

1 comments:

  • Gondai says:
    July 15, 2010 at 2:17 AM

    Assalamualaikum Sarip, kalau datang KL, ziarah2 la ke rumah abang kat Shah Alam ni...