Wednesday, February 17, 2010

TERTIPU...

Tengah sedap makan di Anjung Selera Teluk Likas...kami didatangi seorang pemuda bersongkok. Katanya: ''Bang, kami kutip derma untuk rumah anak yatim di Kedah. Dalam RM10 sahaja dan abang boleh pilih samada nak ambil takwim atau CD nasyid''. Aku memilih CD nasyid sbb nak suruh anak-anakku dengar dalam kereta.Tajuk CD..amanat. Bila aku dapat je, cover albumpun dah pelik. Gambar seorang lelaki memeluk seorang perempuan. Tak bertudung pulak tu. Pelik..konon lagu dakwah. Tajuk lagu-lagu ya juga pelik..antaranya: Raja Sakti...macam ada yang tak kena pada album dan kumpulan yang menjualnya.



Aku cuba search di internet tentang kumpulan tersebut. Pun aku rasa macam ada yang pelik...baru-baru ni keluar kisah sebenar kumpulan tersebut dalam Utusan Malaysia...

Ermm...banyak betul orang yang ingin menyesatkan manusia zaman sekarang. Cari makan kot...



PULAU PINANG 11 Feb. UtusanOnline – Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP) hari ini mengesan kegiatan ajaran sesat yang dikenali sebagai ajaran Azhar bin Wahab mula berkembang ke negeri ini dengan berselindung di sebalik pelbagai perniagaan termasuk membuka pusat refleksologi di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAPP, Ghazali Saad berkata, jabatannya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kumpulan itu membuka sebuah pusat refleksologi yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Cinta.

Katanya, dalam proses rawatan mengurut itu, tukang urut yang juga dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu akan membaca mentera tertentu dan menyebut: “Ya Allah dengan barkat dan karamah guruku Tuan Azhar, sembuhkanlah penyakit…”.

“Kita dapati ajaran mereka mula berkembang dan bergerak secara sulit kerana apabila disoal siasat, pekerja di pusat urut itu tidak mengaku bahawa mereka adalah ahli kumpulan ajaran Azhar bin Wahab,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Azhar yang menggunakan gelaran sebagai Yang Mulia Raja Azhar ibni Raja Wahab, Presiden Persatuan Kerabat Raja Sakti Kedah, turut menggunakan kanak-kanak berusia antara 8 dan 11 tahun untuk mengutip derma di pusat membeli-belah untuk menjana pendapatannya.

Ghazali berkata, siasatan yang dijalankan oleh jabatannya mendapati kanak-kanak itu meminta derma daripada orang awam kononnya untuk pembinaan sebuah pusat tahfiz di Yan, Kedah dan penderma akan dihadiahkan cakera padat lagu dakwah.

“Cakera padat lagu dakwah kotemporari itu adalah nyanyian S.M. Amin dan Sharly dan kita sedang menyiasat apakah kaitan antara lagu-lagu itu dengan kegiatan ajaran sesat kumpulan berkenaan,” kata beliau.

Katanya, antara percanggahan akidah yang terdapat dalam ajaran Azhar bin Wahab ialah beliau mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah, mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta mendakwa didampingi oleh ‘Pak Syeikh’ atau wali Allah.

Azhar yang berasal dari Kulim Kedah, pernah mendakwa rohnya berada di Gunung Jerai bersama Wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berada di Damansara dan setiap ahlinya diwajibkan bersumpah setia mengikut segala arahan guru dan merahsiakan kegiatan mereka daripada orang ramai.

Beliau juga mendakwa mempunyai bala tentera dan pesawat ghaib, mempunyai masjid jin Gunung Jerai di samping mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Santubung di Sarawak.

Ghazali berkata, selain itu, Azhar juga dikatakan tidak pernah solat Jumaat dan membolehkan sembahyang jamak pada setiap waktu walaupun bukan dalam musafir.

Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwah Azhar kerana dia sebenarnya tidak mempunyai kelulusan agama dan hanya tamat tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Padang Serai, Kedah.

Azhar pernah bekerja sebagai pemandu dengan Bank Simpanan Nasional di Kuala Lumpur sebelum beliau menyertai kumpulan Al Arqam dan kemudiannya menyertai kumpulan Al Mansur.

Katanya, JHEAPP sedang mengesan Azhar dan ahli-ahli kumpulan ajaran terbabit dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu diminta menghubungi jabatannya menerusi talian 04-2637200.

– BERNAMA

Fatwa juga telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tentang ajaran tersebut:
http://e-fatwa.intranetportal.my/fatwa-negeri/fatwa-mengenai-pengharaman-ajaran-azhar-bin-wahab-pengasas-al-mansur-holding-sdn-bhd

Fatwa Mengenai Pengharaman Ajaran Azhar Bin Wahab ( Pengasas Al-mansur Holding Sdn Bhd )

* Akidah

Keputusan:

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 36 dan 39 Enakmen Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Bil.4 tahun 1994, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menerusi Jamaah Ulama' yang bersidang pada 16 Jamadil Awal 1425H bersamaan 4hb. Julai 2004M dan atas titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan membuat fatwa yang berikut :

1) Ajaran Azhar Bin Wahab didapati bertentangan dengan fahaman
akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada
ajaran Islam yang sebenar, dan

2 ) Bahawa mana-mana kumpulan atau orang perseorangan yang
berpegang dan mengamalkan ajaran Azhar Bin Wahab dianggap
menyalahi hukum syara' dan wajib bertaubat.
Keterangan/Hujah:

1 ) Dari Segi Akidah

1.1 Tadhir Arwah;

Azhar mengamalkan konsep ini dengan mendakwa beliau
didampingi pak sheikh dan rohnya bersama wali Songo;

Ulasan:

Mengikut Sheikh Muhammad Mutawalli Asy-Sya"rawi dalam
kitabnya 'Fatawa' muka surat 230-231 bermaksud;

Konsep 'Tadhir Arwah' adalah diharamkan oleh syara'.Sheikh
Mutawalli Sya'rawi ketika ditanya mengenai Tadhir Arwah
dan berubat dengan menggunakan roh, beliau berkata :
" Apakah yang boleh memberitahu kepada mereka bahawa yang
hadir itu adalah roh?. Adakah mereka mengenali roh sehingga
apabila ia datang , mereka boleh berkata inilah roh yang kami
kenal. Yang mungkin mereka kata ialah; sesungguhnya mereka
menghadirkan kekuatan yang tersembunyi tetapi bukan roh. Itu
semua tidak dapat diterima, dan orang yang berkata sesungguhnya
ia menghadirkan roh mengikut Quran, maka orang itu adalah
pembohong dan penipu...yang mereka hadirkan itu adalah jin.

1.2 Aurad Muhammadiah

Azhar bin Wahab juga mengaku mengamalkan aurad Muhammadiah dan
mendakwa sebagai lakonan dengan tujuan menarik bekas pengikut-
pengikut Al-Arqam. Oleh itu sama ada ia bermaksud sebagai
lakonan namun uanya tetap tidak dibolehkan syara'.

Ulasan:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal
Ehwal Ugama Islam Malaysia yang diadakan pada 5 Ogos 1994 ,
telah mengharamkan Aurad Muhammadiah yang diamalkan oleh Al-
Arqam . Pada masa yang sama turut diwartakan juga oleh
seluruh negeri-negeri .

1.3 Menggunakan Tawassul

Azhar bin Wahab telah mengangkat dirinya sendiri sebagai
seorang yang hebat, seolah-olah dia tergolong sebagai wali dan
orang-orang soleh . Oleh itu beliau meminta supaya pengikutnya
menggunakan dirinya sebagai Tawassul kepada Allah . Banyak
bukti yang mendapati bahawa beliau sendiri sering melakukan
perkara-perkara yang bertentangan dengan syara'; seperti
meninggalkan sembahyang Jumaat, memakai seluar pendek,berbohong
kepada pengikut serta mendakwa perkara yang bukan-bukan dan
bertentangan dengan syara'.

Ulasan:

Bertawassul dengan zat atau peribadi seseorang samada Rasul ,
Nabi atau Wali, adalah diantara cara bertawassul yang tidak
pernah diperintahkan oleh Allah atau pun disampaikan oleh
Rasulnya . Ini berdasarkan Firman Allah S.W.T. dalam Surah
Az-Zumar , ayat 3 bermaksud :

" Ingatlah ( hak yang wajib dipersembahkan ) kepada Allah ialah
segala ibadat dan bauan yang suci bersih (dari segala rupa
syirik) dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari
Allah untuk menjadi pemimpin dan penolong (sambil
berkata):"Kami tidakmenyembah atau memujanya melainkan supaya
mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya.
Sesungguhnya Allah akan menghukum diantara mereka (dengan
orang-orang yang tidak melakukan syirik ) tentang apa yang
mereka berselisihan padanya.
Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-
orang yang tetap berdusta ( mengatakan yang bukan-bukan ), lagi
sentiasa kufur ( dengan melakukan syirik )".

1.3 Berbai'ah

i- Setiap ahli baru dikehendaki berbai'ah terlebih dahulu dan
tempatnya tidak ditentukan . Mungkin dirumah, dipejabat atau
dimana-mana sahaja yang dirasakan sesuai . Bai'ah pula tidak
terikat kepada kaedah tertentu .
ii- Jika seorang atau dua ahli, cara memegang tangan akan digunakan
sekiranya ramai , kain akan digunakan untuk melindungi mereka
dengan tujuan dapat dipegang oleh semua , seolah-olah dalam
bulatan. Upacara ini diketuai samada oleh Hj.Illias atau Ustaz
Hanapi dengan diperhatikan oleh Azhar bin Wahab .

iii-Semasa berbai'ah para ahli akan diminta melafazkan ayat-ayat
berikut iaitu ; 'Saya (....nama....) dengan ini mengaku akan
memberi taat setia kepada jamaah dibawah pimpinan Sayyidi
Sheikh Syed Muhammad Amin Al Mansur Al Hallaj, Nabi Khidir dan
berjanji akan taat setia tidak berbelah bagi............'

iv- Majlis berbai'ah yang diadakan akan diketuai oleh Ustaz Hanapi
atau Hj Illias yang dilantik sebagai ketua majlis dengan
memegang sebilah keris kecil. Antara bacaan yang perlu
dibaca ialah ;

a. Al Fatihah
b. Membaca ; لقد جاءكم..... الي اخر - Surah At-Taubah Ayat 128
c. Membaca ; لا اله الا انت سبحنك اني كنت من الظالمين
d. Selawat keatas Nabi
e. Membaca ; سبحن الله والحمد لله ولا اله الا الله والله اكبر
f. Membaca ; استغفر الله العظيمsebanyak 3kali

v-Keris kecil 4 inci akan digunakan dalam pengijazahan.
Disamping
itu,ahli diminta memakan ais sebanyak sekilo seorang dan
diminta berjanji membuat penyerahan nyawa secara total , harta
dan apa sahaja yang ada kepada Azhar bin Wahab.

Ulasan:

Sikap taksub kepada guru adalah salah satu dari gejala
melampau.
Sikap melampau adalah bertentangan dengan sikap adil dan
sederhana yang dituntut dalam Islam seperti Firman Allah dalam
Surah Al-Baqarah ayat 143 bermaksud;

"Dan demikianlah (sebagaimana telah kami memimpin kamu ke jalan
yang lurus),kami jadikan kamu ( wahai umat Muhammad ) satu
umat yang pilihan lagi adil , supaya kamu layak menjadi orang
yang memberi keterangan kepada umat manusia(tentang yang benar
dan yang salah),dan Rasulullah( Muhammad )pula akan menjadi
orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu."

Disamping itu sikap taksub kepada guru ini juga mengundang
bahaya kerana seolah-olah menjadikan diri guru sebagai Nabi
yang maksum dan perkataannya seperti firman yang diturunkan
yang menyebabkan guru dianggap benar dalam apa hal
sekalipun.Hal ini sama dengan apa yang berlaku dalam Al-
Arqam . Telah ijtimak ulama' salaf dan khalaf bahawa semua
orang boleh diambil dan ditinggal pendapatnya melainkan Nabi.

1.5 Khurafat

Beberapa amalan dalam ajaran Azhar bin Wahab adalah
mengandungi unsur-unsur bid'ah dan khurafat seperti menangis
dihadapan ahli
- ahli dan kakitangan kerana mendakwa nampak dan tahu kesalahan
agama yang pernah dibuat oleh mereka , mengaitkan memakan ais
sebagai syarat karamah , dan menggunakan keris untuk mengubat
dan mempercayai keris tersebut ada penunggu.

Ulasan:

Khurafat adalah cerita sama ada rekaan atau khayalan dan
sebagai
-nya yang menyimpang dari ajaran Islam.Islam sangat
menitikberatkan soal akidah dan syariat . segala amalan dan
kepercayaan yang tidak berdasarkan sumber yang asal seperti Al-
Quran ,Hadis,Ijmak dan Qias adalah ditolak oleh Islam . Dalam
Islam , kepercayaankepada benda-benda khurafat ini adalah
syirik dan boleh merosakkan akidah umatnya. Alam ghaib hanya
Allah sahaja yang tahu dan tindakan sedemikian seolah-olah
menyaingi kuasa Allah dan ia bertentangan sama sekali dengan
akidah Islam . Berdasarkan buku' Fatawa al Akidah ' oleh Sheih
Muhammad bin Saleh bin Uthaimin, halaman 375 menyatakan ;

"sesiapa yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib sesungg
-uhnya dia telah kufur kerana mendustakan Allah Taala . Allah
memerintahkan Nabi Muhammad memberitahu bahawa baginda tidak
tahu perkara-perkara ghaib melainkan Allah . Sesiapa yang
mendakwa mengetahui perkara ghaib sesungguhnya dia telah
mendustakan Allah Taala.

2 ) Dari Segi Syariat

2.1 Dam

Dam hanyalah berlaku semasa mengerjakan haji sahaja . Ini
seolah-olah telah mereka-reka syariat baru iaitu membayar
dam disebabkan satu kesalahan .

2.2 Solat Jamak

Solat Jamak hanya boleh dilakukan dalam keadaan tertentu
sahaja seperti musafir dengan niat ibadat. Ianya merupakan
rukhsah khusus dalam keadaan tertentu sahaja. Amalan Solat
Jamak secara berterusan ini adalah merupakan amalan orang-
orang Syiah.

3 ) Dari Segi Akhlak

3.1 Memberi Barakah dan Syafa'at

Barakah hanya boleh diberi oleh Allah S.W.T sahaja , bukan
manusia . Azhar menunjukkan ia membesarkan dirinya dan
mengagungkannya hingga ke tahap dia boleh memberi berkat. Ini
bertentangan dengan roh Islam , sedangkan sahabat dan ulama'
terdahulu,tidak pernah mendakwa sedemikian. Firman Allah S.W.T
dalam Suran Al-Baqarah ayat 255 bermaksud ;

" Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah)melainkan Dia, yang
tetap hidup , yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian
makhluknya) yang tidak mengantuk usahkan tidur , yang memiliki
segala yang ada dilangit dan yang ada dibumi . Siapakah yang
memiliki segala yang ada dilangit dan yang ada dibumi.Siapakah
yang dapat memberi syafa'at disisi Allah tanpa izin Nya? Allah
mengetahui apa-apa dibelakang mereka.Dan mereka tidak
mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang
dikehendaki-Nya.Kursi Allah meliputi langit dan bumi . Dan
Allah tidak merasa berat memelihara keduanya , dan Allah Maha
Tinggi lagi Maha Besar."

3.2 Bersumpah dengan Al-Quran

Semasa bertemu dengan Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah
JAKIM,Azhar bin Wahab telah bersumpah dengan nama Allah sambil
memegang Al-Quran walaupun tidak diminta berbuat demikian .
Lazimnya bersumpah sebelum diminta seolah-olah menunjukkan
bahawa dia merasakan dirinya tidak boleh dipercayai lalu
berbuat demikian. Bersumpah dengan memegang atau mengangkat
Al-Quran adalah bid'ah dan perlu dijauhi atau diperbetulkan.
Lagipun dalam kes 'Li'an' sahaja boleh berbuat demikian . Ini
seolah-olah mempermainkan Al-Quran.

4 ) Penutup

Berdasarkan kepada hasil penyelidikan serta pengakuan bekas
ahli-ahli AlMansur yang ditemui serta hasil pertemuan dengan
peneraju utama kumpulan berkenaan , maka kedudukan Ajaran
Azhar bin Wahab adalah bercanggah dengan akidah dan syariah
Islamiah.

20 comments:

  • Sue`Zhaila says:
    February 17, 2010 at 5:51 PM

    syukran ustaz..ana baru tahu..di rumh ada cd tu..tapi blum pena dgr lagi..

  • Billet-DOux says:
    February 17, 2010 at 5:52 PM

    Salam ustaz,

    jadi cd amant tu ada kaitanlah dengan Azhar ne, sebab saya pun menjumpai CD ne kat dalam kereta ayah saya. Asal usul tidak pasti. nanti saya tanya dia. Takut juga aqidah terpesong lantaran mendengar lagu tu. Syukran ustaz atas info ini. Penambahan ilmu buat saya.

  • anarusman says:
    February 18, 2010 at 9:08 PM

    salam uztaz..
    nie pngajaran buat kita semua supaya tak tertipu dgn golongan peminta sedekah..btul x ustaz?

  • FiFFy says:
    February 19, 2010 at 7:32 PM

    ibu pun pernah beli cd ni, dengar jak kutipan derma, dia beli...
    dorang promote kat CP tu hari.. nasib baik ibu tak pernah dengar cd tu..

  • Abu Syifa' says:
    February 19, 2010 at 10:28 PM

    byk lagi yg mcm ni..andai kita tiada penapis mudah terpesong..penapis itama ialah ilmu terhadap akidah yang sebenarnya

  • nasri21 says:
    February 20, 2010 at 7:16 AM

    masyaAllah..mudah2an kpala ajaran sesat tu btaubat..

  • nasri21 says:
    February 20, 2010 at 7:18 AM

    masyaAllah..mudah2an kepala ajaran sesat ni taubat nasuha..smoga Allah bg hidayah pd para pengikut yg tertipu..

  • Cikgu Zul says:
    March 1, 2010 at 8:58 PM

    Salam..

    Salam Ziarah..Dah banyak kali ziarah, cuma tak tinggakan kesan aje.

  • Abu Syifa' says:
    March 2, 2010 at 1:06 AM

    Syukran atas ziarah cikgu Zul..
    Sayangnya kita belum pernah bersua muka, cuma bertelefon..
    Mudahan sampai masa Allah pertemukan

  • Norhasdi Hassan says:
    March 8, 2010 at 8:03 AM

    Saya pada awalnya takut hukum alam, tak beli nanti kalau saya minta org beli produk saya, org pun akan tolak. Pastu tengok tajuk ok. Pastu org tu kata, perempuan tu muallaf. "Aik, terfikir.. Bini dia ka ni". Sekali pasang di kereta... Ya Allah. Apa2 lah lagu dia tu... Tak masuk ke hati. Pastu senikatanya semacam je.....

  • mssaliworld says:
    March 13, 2010 at 11:25 PM

    alhamdullilah.... nasib baik tak beli cd ari tu, sebab curiga tgk gmbr perempuan tak pakai tudung. bla ana menolak utk membeli, bdk perempuan tu cakap " KAKAK TIDAK MAU TOLONG SEKOLAH KAMI?" .... lain macam jer ayatnya... memang dh d latih kot... persoalannya, mcmana mrk boli smpi d sabah??? mesti ada dalang d sebaliknya....

  • hamba says:
    March 21, 2010 at 7:09 AM

    ustaz..ada dorg punya menara kat bundusan..menara SM AMIN..skrg dorg bergerak secara aktif menggunakan kaedah refleksotologi tu dan perubatan tradisional...

    takleh ke kite buat sesuatu sebelum parah?bahaya la..

  • Md Fairuz says:
    March 26, 2010 at 3:00 PM

    nauzubillah..manusia semakin hilang kewarasan demi mendapatkan kepentingan nama,pangkat dan harta.sehingga syariat islam tidak di amalkan dgn betul...

  • Syaiful Anwar says:
    May 22, 2010 at 7:59 AM

    assalamualaikum Ustaz : hari tu saya ada beli CD ni...masa kat Ranau(stesen Petronas), tetiba ada seorang kanak2 tu datang dan cakap jual Cd Amanat ni untuk derma tabung persatuan anak2 yatim. Rasa kesian juga dengar dia cakap pasal anak yatim, so saya pun hulurkan la 10 ringgit dengan harapan dapat membantu persatuan yang bertujuan "baik" kononnya itu...jadi saya pun dapat la CD Amanat tu... so, sampai kat ofis, saya dengar lah cD tu dengan tujuan untuk menghiburkan hati.tapi sayangnya tak terhibur langsung, sebab suara ntah apa apa ntah...hahha..dan lirik lagu tu semacam je aku dengar. Seolah-olah seperti ada maksud yang terlalu mendalam.Tak sangka plak itu ajaran sesat... Nasib baik suara penyanyi tu tak sedap, so, taklah saya tertarik dengan semua itu...haaaha

  • One Complicated Dude says:
    June 9, 2010 at 9:18 PM

    Saya pernah berjumpa dengan Azhar dan orang kanannya sendiri, En Alias. Menurut mereka, ini semua fitnah, banyak mengaitkan Azhar dengan Alarqam. Azhar minta diskusi dengan majlis fatwa, sampai harini majlis fatwa tak jumpa dia unutk soal siasat.
    Ni cerita dari mulut dia. Saya masih atas pagar dalam perkara ni.

  • wan says:
    July 12, 2010 at 7:47 AM

    kami pun didatangi oleh individu dengan modus operandi yang sama sewaktu makan di BTC Inanam. Alhamdulillah dah pernah baca entry ni..

  • NOTA says:
    October 18, 2010 at 5:51 AM

    saya mahu kepastian dari ustaz kerana suami jiran saya ada bekerja dengan Kerabat Raja Sakti ini adakah ini fitnah atau cerita benar sedangkan dia pergi sembahyang jumaat justeru itu beliau juga telah banyak membantu anak-anak yatim sya kurang pasti lah ustaz tolong terangkan

  • fad says:
    November 21, 2012 at 12:47 AM

    Saya pon mahu kepastian jugak hari 2 dia ada tlg masjid dkt kg saya semporna sabah.SY ada dapat derma duit 50 dgn beras. Halal ka itu..

  • Mohamad says:
    June 14, 2013 at 11:51 AM

    kawan saya pernah tertipu dengan pusat rawatan cinta di parkson KB, rawatan cuma sekejap macam kena pukau BILA DIBACA MENTERA2, DIA terus serahkan wang beratus2 ringgit sebagai bayaran

  • Mohamad says:
    June 14, 2013 at 12:01 PM

    yang dok puji ni entah2 org dari ajaran ini, cakap umum bolehlah, cuba bagi spesifik skit apa kebaikan mrk, dimana mrk curahkan?