Thursday, February 4, 2010

HAI UMM QAIS (2)

Ada beberapa orang akhawwat berdiskusi dengan ku mengenai entri Hai Umm Qais (1) yang ku tulis dalam blog. Kata mereka, memang sepatutnya demi kelangsungan perjuangan seorang akhawwat dalam rumahtangga dan kehidupannya, ia perlu mencari teman hidup sefikrah. Ini kerana suaminya kelak pemimpin dirinya. Tapi masalah sekarang akhawwat yang memiliki kesedaran jauh lebih ramai dari ikhwah, sudah pasti menjadi kesukaran akhawwat mencari pasangan yang memiliki kefahaman yang sama. Jadi tidak salah ia mencari ‘orang lain’?. Lama juga aku berfikir, pandangan akhawwat-akhawwat itu memang ada logiknya dari beberapa sudut...Memang aku akui berdasarkan sedikit pengalaman, akhawwat lebih mudah menyahut seruan dakwah berbanding lelaki . Mungkin disebabkan akhawwat lebih ramai bilangannya di institusi kecemerlangan akademik seperti IPT dan lain-lainnya atau kelembutan wanita menyebabkan mereka mudah menerima kebaikan? Mungkin juga kerana bilangan wanita lebih ramai dari lelaki masa kini?. Apapun aku sendiri belum jumpa kajian yang mampu dijadikan bahan bukti sejauhmana istiqamah akhawwwat perjuangan khususnya selepas keluar dari alam pengajian dan setelah berumahtangga. Mungkin di tangan sahabat-sahabat ku yang lebih luas pengalaman ada data terperinci mengenai perkara tersebut.


Aku bertanya balik kepada akhawwat-akhawwat tersebut, kalaupun kenyataan akhawwat melebihi ikhwah hingga menyukarkan mereka memilih rakan sefikrah, tapi sejauh mana mereka telah berusaha untuk mencari pasangan yang memiliki fikrah dan kemahuan perjuangan yang sama untuk dijadikan pasangan? Adakah dia telah berusaha bersungguh-sungguh melalui saluran pelbagai? Bukankah mencari pasangan sebegitu satu tanggungjawab, satu amanah dan satu jihad? Bukankah kita telah setuju meletakkan ‘rumahtangga’ sebagai landasan kedua selepas pembinaan peribadi dalam proses mengembalikan khilafah Islamiyyah? Atau kita ada teori perjuangan baru yang lebih pintas dari jalan tersebut? Atau kita sebenarnya masih kurang yakin dengan teori perjuangan tersebut? Kalau begitu kalian memang tidak bersama rombongan kami…kita berada di perahu yang berbeza. Tapi ‘masalahnya’ kalian sendiri yang mengatakan ‘yakin’ dengan teori tersebut dan ingin keseberang dengan perahu yang sama dengan perahu kami. Sepatutnya bila sudah yakin, kenalah berjihad mempertahankannya dan berusaha ke arah perlaksanaannya.

Persoalannya: apa usaha yang telah ukhti lakukan? Berapa kali ukhti berusaha? Mudahnya ukhti berputus asa? Bukan kah kemenangan itu bagi orang yang sanggup bersabar walau sesaat?Apatah lagi kalau anda langsung tidak pernah melakukan 'satu' usaha pun...

Tambah ku lagi…andainya semua usaha tidak membuahkan hasil dan putera yang dicita-citakan tidak kunjung tiba sedang di sana ada lelaki lain yang memiliki nilai-nilai murni untuk dijadikan pasangan bagi memperolehi zuriat yang halal…aku juga tidak berani mengatakan ‘jangan’, bahkan aku akan berkata: 'teruskan dengan pemantauan murabbiahmu. Teruskan ...tapi di atas kepala kalian ada amanah yang sangat berat di dunia dan pasti dipersoalkan di akhirat. Antaranya:

Pertama: Ukhti wajib memastikan kesudahannya pasangan tersebut mengimani fikrah ukhti dan memperjuangkan perjuangan ukhti. Kalau ini tidak berlaku, pastinya ukhti sendiri akan menyesalinya suatu ketika nanti. Ini bererti sepanjang perkahwinan, mad’u ukhti yang pertama dan utama ialah suami ukhti. Ini memerlukan ukhti memiliki kekuatan yang tinggi untuk mentarbiah lelaki bergelar suami dan suami ukhti pula dari jenis yang boleh ditarbiah oleh isteri. Ada yang berhujah mengenai kehidupan Zainab al-Ghazali, diapun berkahwin dengan orang yang tidak seperahu dengannya…namun kekal istiqamah dalam perjuangannya setelah keluar dari penjara? Tapi adakah tarbiah kita semantap tarbiah zainab al-Ghazali? Mana perginya akhawwat-akhawwat yang pernah berhujah dengan perkahwinan zainab al-Ghazali kini? Masa akan menentukan…

Kedua: Ukhti perlu memastikan yang perkahwinan itu tidak menyebabkan ukhti futur dari perjuangan. Ukhti mampu berjalan lancar di atas jalan dakwah ini dan menunaikan amanah tarbiah yang diwariskan kepada ukhti. Ini kerana tarbiah dan perjuangan ini satu amanah berat. Setiap kecuaian takut melambatkan perancangan dan agenda besar dakwah. Pastinya ukhti tidak mahu menjadi penyebabnya?Ukhti akan dimuhasabah dengan hisab yang berat di akhirat nanti. Yakinlah…

Apatah lagi kalau ukhti tergolong di kalangan mutasaqitat dari landasan perjuangan yang ukhti sendiri kata: yakin. Takut ukhti akan tergolong di kalangan mereka yang difirmankan oleh Allah:

وَمَنْ يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَى فِئَةٍ فَقَدْ بَاءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأْوَاهُ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (16

Maksudnya: “dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali”. [al-Anfal: 16].

Ketiga: Ukhti mampu mewariskan fikrah dan perjuangan ukhti pada diri anak-anak walau suami ukhti yang juga ketua keluarga tidak sefikrah dengan ukhti. Ini menyebabkan ukhti mengambil alih tugas memimpin keluarga dalam tarbiah dari suami ukhti. Perjuangan ini perlu diwariskan agar anak-anak ukhti mampu menjadi generasi penerus dalam agenda besar perjuangan. Bagaimana ukhti dahulu dibentuk, begitulah juga sepatutnya ukhti membentuk anak-anak ukhti. Bahkan ukhti telah terhutang budi pada fikrah dan perjuangan ini, kerananya ukhti jadi manusia hebat berbanding masa silam. Untuk membalas jasa dan sumbangan fikrah ini, ukhti perlu memastikan ada pewaris khususnya keluarga ukhti…itulah mafhum sebenar pembinaan keluarga selepas pembinaan peribadi.

Jika ukhti mampu melaksanakan semua tuntutan dakwah seperti di atas, insya Allah, kami doakan kesejahteraan untuk ukhti dan ukhti sebaris dengan zainab al-Ghazali. Ingatlah semua murabbi dan kawan-kawan setarbiah ukhti akan menyaksikan adakah ukhti telah benar-benar menunaikan tanggungjawab tersebut dan mengotakan janji ukhti pada diri, murabbi dan perjuangan ukhti. Firman Allah dalam ayat 55 surah az-Zaariyat :

وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين

Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatkan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Adapun sengaja memilih orang yang langsung jauh dari kesedaran Islam, tidak berakhlak dan leka dengan kenikmatan dunia. Waktu itu tidak berkahwin lebih baik dari berkahwin. Kecualilah ukhti sehebat Asiah isteri Firaun dan ada murabbi sehebat Musa AS. Kami rasa akhawwat yang sudah ditarbiah bertahun-tahun tidak akan berbuat demikian…Kalau diteruskan juga, itu tandanya ukhti telah melebihkan kecintaan terhadap dunia melebih perjuangan ini...kami berlepas diri dari apa yang bakal menimpa diri..

Aku berkata kepada akhawwat-akhawwat tersebut, bahawa itu Cuma pandanganku. Mana-mana murabbi akan memberi pandangan seideal mungkin demi kelangsungan tarbiah anak didiknya. Sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang mutarabbi menilai dengan teliti pandangan murabbinya. Jika semua itu tiada, tiadalah makna tarbiah. Bahkan dakwah ini sampai masanya memerlukan al-Indhibat dan al-Sam’u wa al-Ta’ah. Itulah manhaj yang kita fahami.

Namun seandainyanya mutarabbi memilih pandangan yang lain, itu haknya sebagai manusia yang dianugerahkan kebebasan memilih. Apapun, ia perlu membuktikan pandangannya betul di alam realiti. Kecualilah ukhti jadikan perjuangan ini sekadar tempat persinggahan alam remaja, bukannya nyawa pengerak kehidupan seluruhnya. Ukhti sendiri menentukan pilihan, tanggungjawab kami sudah selesai dengan memberi ilmu, didikan dan bahan berfikir, itu sahaja yang mampu kami berikan sebagai tanda sayang teramat sangat dan nilai ukhuwwah dari kami…mungkin kami berfikir terlalu ideal melebihi ibubapa kalian, ini kerana kami ingin menjadikan kalian pejuang sedangkan impian ibubapa ukhti mungkin berbeza…kami mengaku, mungkin pandangan kami salah dan pandangan kalian betul..kami cuma berijtihad sesuai dengan manhaj dakwah yang kami fahami, mudahan ada pahalanya…sampai masa kalau ukhti berada di tempat kami, kalian juga akan diajukan persoalan yang sama…waktu itu kalian juga akan berijtihad seperti kami. Semoga Allah memberikan apa yang kalian diimpikan, andainya impian tidak menjadi kenyataan dan gagal!…cukuplah bahan ini dijadikan muhasabah semula kerana waktu itu selayaknya kami berdiam diri. Sabda Rasulullah SAW: Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Pesan Imam Abu Hanifah:

لا تحدث فقهك من لا يشتهيه
(Jangan kau bicarakan fiqhmu pada mereka yang tidak berselera mendengarnya)


Mudahan dengan berdiam diri, kami tidak menyakiti sesiapa…Itulah tahap tertinggi ukhuwwah kami.

Ampun maaf kalau ada yang terasa dengan kisah Umm Qais…

4 comments:

  • ::DhuHA- The Next Syahidah:: says:
    February 7, 2010 at 8:33 AM

    saya pun bersetuju dengan pandangn akhawat. cumanya, agak menyedihkan jika perkahwinan menyebabkan bantutnya dakwah di kalangan akhwat.

  • Abu Syifa' says:
    February 7, 2010 at 9:24 PM

    yg akan mula2 terbantut ialah dakwah dalam keluarga. Anak-anak paling awal menanggung risiko...apa-apapun itu cuma teori. Kita sama-sama tunggu dan lihat..

  • nur_Mahasiswa says:
    February 8, 2010 at 8:44 AM

    Salam Ziarah...

    Terima kasih atas perkongsian artikel ini.

    Secara peribadi saya melihat satu usaha murni yang dilaksanakan oleh penulis dalam memberikan penerangan berkenaan perkahwinan sefikrah berdasarkan teori yang disampaikan.

    Saya menulis berdasarkan persekitaran semasa pada hari ini dan saya berpandangan kepada akhwat berkenaan untuk lebih melihat:

    1. tujuan apa kita dilahirkan di muka bumi Allah s.w.t.
    2. kenapa kita di medan dakwah?
    3. Yakinkah kita dengan janji Allah s.w.t.?

    Memilih itu satu kemestian tetapi dalam memilih itu mesti di sudut hujung keputusan adalah keredhaan kepada Allah s.w.t.

    Jika Allah s.w.t. yang kita letak di depan maka ingatlah Allah s.w.t. akan membantu

    tapi jika sebaliknya kita akan dapat apa yang kita mahu di dunia ini.

    KAHWINLAH KERANA ALLAH S.W.T.

    sekadar berkongsi...

  • Abbad ibn Bishr says:
    March 21, 2010 at 7:04 AM

    sedikit sebanyak memberi idea dalam penulisan cerpen saya untuk season seterusnya