Tuesday, July 14, 2009

PERBANYAKKAN MASA BERSAMA


8/7/09- Air Asia – KK ke LCCT KLIA

Akhir-akhir ini kes perceraian semakin menjadi-jadi. Pada 3 mac 2009, Utusan Malaysia melaporkan sejumlah 57,266 kes perceraian membabitkan pasangan beragama Islam dalam tempoh 2 tahun iaitu tahun 2007 dan 2008 sahaja. Ini satu angka yang sangat membimbangkan. Punca utama ialah kerana kurangnya persefahaman. Ketidak sefahaman ini boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut dan penyebabnya juga kadang kala amat remeh. Namun perkara yang remeh apabila tidak diselesaikan dengan cepat akan membibitkan permasalahan yang lebih besar. Apatah lagi saat cinta sayang sudah semakin berkurangan, masalah kecilpun mampu memusnahkan ikatan. Umpama tubuh badan yang kekurangan antibodi, serangan virus biasa pun sudah cukup mendatangkan penyakit yang sangat berbahaya.


Budaya berumahtangga banyak menentukan kekuatan sebenar rumahtangga. Tidak dapat dinafikan faktor kekuatan agama merupakan tunjang utama ikatan keluarga, namun budaya keluarga amat perlu dalam menentukan tahap keselesaan berumahtangga. Budaya keluarga berbeza dari satu pasangan dengan pasangan yang lain.

Contohnya ada pasangan yang suka bersama dalam apapun aktiviti dan ada pasangan yang tidak kisah dengan penglibatan pasangannya. Ada pasangan yang suka bergurau senda dan banyak berbicara dan ada pasangan yang lebih gemar senyap dan kurang berbicara. Budaya begini biasanya dipengaruhi oleh sifat semulajadi pasangan dan kadangkala faktor luaran seperti kesibukan kerja dan sebagainya. Namun tidak semua budaya keluarga dianggap baik, bahkan kalau berterusan boleh mengugat keharmonian berumahtangga. Ukuran baik atau buruknya budaya keluarga adalah dengan menjadikan budaya rumahtangga Rasulullah SAW sebagai ukuran, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW: "aku sebaik-baik kamu dengan keluargaku"

Banyak masalah timbul dalam rumahtangga berpunca dari salah faham. Salah faham sering dibiarkan bersarang di dalam hati tanpa mencari jalan keluar. Sikap pasangan yang tidak sanggup bersemuka atau sanggup tapi tiada ruang masa seringkali menjadikan masalah bertambah rumit dan akhirnya berakhir dengan perpisahan

Sepatutnya, dari hari pertama perkahwinan lagi, suami isteri sepatutnya membiasakan diri melaksanakan pelbagai urusan secara bersama. Masa bersama perlu diperbanyakkan. Memperbanyakkan masa bersama membuka ruang pasangan untuk memahami sikap pasangan. Malah kebersamaan itu memudahkan setiap pasangan mengetahui perjalanan hidup harian pasangannya. Mengetahui emosi, suka duka dan penat lelahnya.

Allah SWT mengambarkan suami isteri umpama pakaian ketika berfirman:

هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ

(Isteri-isteri itu adalah pakaian bagikamu dan kamu adalah pakaian bagi mereka).(al-Baqarah:187)

Tabiat pakaian selalunya melekat di badan kecuali dalam keadaan tertentu. Bila tanggal pakaian dari badan, manusia akan terasa kehilangan sesuatu dan dirinya tidak sempurna lagi. Begitulah juga sepatutnya perasaan seorang suami bila berjauhan dengan isterinya dan perasaan seorang isteri bila berjauhan daripada suaminya..terasa satu kekurangan..

Seorang suami yang menjadi pemimpin utama keluarga perlu menjadi pereka budaya keluarga khususnya dalam mewujudkan suasana kebersamaan dalam pelbagai urusan rumahtangga. Banyak boleh dilakukan. Bermula dari menjadi guru kepada isteri dan anak-anak melalui perbincangan ilmiah (usrah) mingguan di rumah hinggalah dalam hal masak-memasak di dapur, suami perlu turun padang. Membiasakan syura dan perbincangan dalam merancang urusan keluarga juga mampu mewujudkan rasa kebersamaan, dihargai dan memperkukuhkan cinta sesama pasangan.

Bagi seorang daie, membawa isteri dalam program-program dakwah yang ia sertai akan mampu memahamkan isteri akan perjuangannya. Seorang penceramah misalnya, melalui ceramahnya akan mampu memberi bimbingan ilmu kepada isteri yang dibawa bersama disamping audien yang lain. Bahkan isteri mampu menjadi penilai terhadap tahap kefahaman, penerimaan dan keberkesanan ceramah suaminya. Malang sekali apabila ada di kalangan da'ie yang perjuangannya tidak dapat dikongsi oleh isteri dan anak-anaknya. Ini kerap kali berlaku bagi akh yang suaminya tidak ditarbiah seperti mana dirinya ditarbiah. Perkahwinan mereka sekadar kesatuan dua jasad atau dua cinta tapi bukan kesatuan fikrah, tarbiah dan perjuangan. Kesilapan da'ie semakin bertambah apabila ia membiarkan sahaja pasangannya jahil akan perjuangannya. Kononnya perjuangan perlu di sirrkan. Apalah salahnya sekali sekala isteri dibawa bersama ketika menghadiri usrah, sambil berusrah boleh juga isteri berkenalan dengan isteri sahabat yang lain. Ini boleh mengwujudkan ukhuwwah di kalangan mereka. Bahkan sepatutnya suami memasukkan isterinya ke dalam program-program sebegitu dan tidak membiarkan isteri bertahun-tahun kosong tanpa pengisian.

Sering terjadi, para daie terlalu sibuk dengan urusan dakwahnya hingga terlupa isteri dan anak-anak di rumah. Yang 'alim' anak dan bini orang, sedang anak dan bini sendiri jahil tanpa sebarang bimbingan. Akhirnya menjadi fitnah dan mencemar imej dai’e itu sendiri.

Bagi suami isteri yang kedua-duanya bekerja, mencari masa untuk sentiasa bersama pasti sukar, kecualilah yang bekerja di pejabat yang sama. Namun, ia tetap boleh dilakukan melalui peruntukan masa berkualiti dan ruang yang ada diisi betul-betul dengan aktiviti yang mampu memaksimumkan semula keceriaan, kegembiraan dan ikatan cinta. Pasangan tersebut boleh pergi dan pulang kerja bersama. Sepanjang perjalanan boleh digunakan untuk berbincang mengenai perancangan keluarga, nasib anak-anak dan bergurau senda.

Seperkara lagi yang perlu dilakukan oleh suami dalam mewujudkan masa bersama yang banyak ialah dengan mengajak pasangan beribadah bersama. Mengajak isteri dan anak-anak berjamaah di masjid dan sama-sama mendengar majlis ilmu merupakan aktiviti yang sangat dituntut dan mendatangkan pelbagai manfaat. Yang paling utama, ia mewujudkan rasa kebersamaan dalam mendampingkan diri dengan Allah SWT. Malangnya ada pasangan yang mendirikan rumahtangga bertahun-tahun, solat berjamaah bersama di rumahpun tak pernah dilakukan, apatah lagi mengajak isteri dan anak-anak ke masjid. Sepatutnya aktiviti begini perlu dimulakan di hari pertama perkahwinan lagi.

Riadah bersama juga mampu memantapkan ikatan kasih sayang keluarga. Sesetengah suami lebih gemar ditemani rakan-rakan apabila bersukan berbanding dengan isteri sendiri. Bahkan sesetengahnya rasa malu membawa pasangannya bersama. Cuba bayangkan kalau sukan itu memakan masa berjam-jam seperti permainan golf, pastinya sebahagian besar masa rehat dihabiskan dengan kawan-kawan berbanding dengan pasangan sendiri. Itu tidak termasuk masa pejabat atau urusan kerja harian. Akhirnya hubungan dengan kawan lebih intim berbanding isteri sendiri.

Contohilah kehidupan Rasulullah SAW. Kesibukan baginda dalam dakwah dan perjuangan tidak menghalang baginda dari mewujudkan ruang untuk bermesra dan bergurau senda dengan keluarga. Bahkan kerap kali apabila bermusafir, baginda membawa salah seorang dari isteri-isterinya.

6 comments:

  • Umar al-Longobi says:
    July 15, 2009 at 5:34 PM

    terima kasih byk atas artikel yg amat berguna ini. semoga `kebersamaan` itu akan bisa dimiliki oleh setiap `negara` muslim. teruskan...

  • ::DhuHA- The Next Syahidah:: says:
    July 17, 2009 at 9:52 AM

    saya ingin berkongsi sedikit hasil pengalaman saya menjdai moderator bagi Pameran Seerah yang berlangsung di hayy Sabii', kaherah. Ttg perjalan hidup Rasulallah.

    Rasulullah adalah insan yang paling romantis yang pernah saya dengar dan saya yakini sepanjang hidup saya. Saat Baginda mati, baginda bukan mati dalam solat, bukan semasa berzikir, bukan juga di medan perang-tetapi di dalam pelukan isterinya Aisyah. Di awal kerasulam baginda mendapat pelukan dari langit(jibril) dan khadijah- matinya baginda juga dalam pelukan..pelukan seorang isteri. Apakah ibrahnya? fikirkan kerana disebalik debu2 Hijaz mengandungi mutiara2 yang mengajar manusia untuk beretika tinggi dalam hubungan sesama manusia dan makhluk yang lain. Allahu wa rasuluhu A'lam.

  • ::DhuHA- The Next Syahidah:: says:
    July 19, 2009 at 1:46 AM

    assalamualaikum ustaz..
    Antara dakwah yang banyak theory atau dakwah yang banyak praktikal mana satu yang lebih sempurna gerakannya??

    tergerak untuk bertanya apabila mendapat tazkirah intensif secara percuma semasa menjadi moderator di cairo..

  • Abu Syifa' says:
    July 19, 2009 at 7:26 AM

    Kesempurnaan sebenar dakwah terletak pada sejauhmana ia bergerak selaras dengan teori dakwah al-Quran yg dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Teori itu ilmu dan perjuangan sebenar di medan praktikal. Lantaran itu Imam Hassan al-Banna telah meletakkan garis panduan utk dakwah kurun ke 20 berlandaskan bacaan beliau pada sejarah ummah bermula dari permulaan dakwah di Mekah. Namun dakwah sebenar bkn terletak pada kehebatan berteori, tapi sejauhmana bergerak di Medan. Lantaran itu kalau belum byk teori dakwah di hafaz...bergeraklah ikut kemampuan ( Lihat hadith mencegah mungkar dgn tangan, lisan dan hati).
    Pergunakan masa di Mesir utk mengali pengalaman dakwah org di sana...agar balik ada 'makna'..pilihlah mutiara antara jejak kaki Musa dan Firaun..pastikan yg dibawa balik adalah semangat musa...

  • Pak Ngah says:
    August 6, 2009 at 1:12 AM

    Pada pendapat pak ngah, kedua-duanya penting. Tak ada teori maknanya berdakwah tanpa pengetahuan dan ini bahaya sebab silap-silap ia jadi dakyah. Kalau tak ada praktikal pulak lagilah teruk, sebab teori itu akan jadi sia-sia sahaja.

  • ana muslim says:
    August 10, 2009 at 8:36 AM

    Assalamualaikum ustaz,

    Lama ustaz tak update blog, harap2 ustaz sihat.

    Wsalam.