Saturday, April 4, 2009

INSAN PRIHATIN




Pagi tadi selesai berceramah sempena Sambutan Maulidurrasul di sebuah sekolah menengah di Penampang, aku sempat bercerita dengan pengetua sekolah. Macam-macam yang kami bicarakan. Beliau bercerita tentang permasalahan pelajar sekolah yang beragama Islam dan bukan Islam yang bermasalah. Rata-rata adalah berpunca dari keluarga yang bermasalah…broken family…


Bukan hanya akademik bermasalah, bahkan akhlak dan hidup juga bermasalah. Ibubapa bercerai, si ibu kembali ke agama asal. Anak-anak pula tidak diketahui apa agamanya. Mana lagi dengan pelajar yang tak tahu apa-apa tentang agama sendiri. Kata pengetua itu, biasanya kalau yang bermasalah itu pelajar muslim, sering dia carikan keluarga angkat di kalangan guru-guru. Kalau yang bukan Islam, dia akan minta kerjasama gereja untuk membantu mendidik pelajar tersebut. Majoriti pelajar di sekolah itu bukan Islam dan pengetuanya beragama Islam.

Apapun aku respect dengan usaha pengetua tu. Dia tak makan gaji buta sahaja. Dia telah berusaha melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Ini kali ke dua mereka menjemput aku ke sekolah tu.

PENYELESAIAN AGAMA
Manusia apabila berhadapan dengan masalah hidup, tempat rujukan terakhir untuk mencari penyelesaian ialah dengan kembali kepada agama. Kembali pada tuhan. Sebab bila sudah terdesak, sudah tiada lagi tempat berpaut dan semua talian hayat telah putus, barulah orang ingat agama. Manusia bila dalam keadaan senang, nafsu masih mampu disuap semua kemahuan, sering lalai ingat tuhan. Kalaupun ingat sekadar upacara simbolik ketika majlis perkahwinan, doa selamat dan tahlil kematian.

Dalam melayari sudut kehidupan yang lain…keluarga, ekonomi, pengurusan dan pentadbiran, sosial, politik dan kenegaraan…tuhan belakang kira. Agama tak perlu campur tangan. Itu urusan manusia bukan urusan tuhan??. Itulah virus sekularisme yang masih besar kesannya dalam diri manusia khususnya umat Islam.

Lantaran itulah ramai yang teringat tuhan dan agama bila hampir mati. Waktu itu sudah tidak ada tempat berpaut kecuali kembali kepada dia maha pencipta.

IBUBAPA YANG ROSAK
Sudah banyak kajian tentang masalah sosial dan punca utamanya adalah keluarga yang bermasalah. Dalam erti kata lain…ibu dan bapa yang bermasalah.

Begitulah adatnya, bila benih yang ditanam dari jenis tidak berkualiti, bila dah pokok dan berbuahpun akan sentiasa tidak berkualiti.

Kesian pada anak-anak yang tuhan anugerahkan ke tangan ibubapa dalam keadaan suci. Ibubapa yang diamanahkan telah mengotorkan fitrah anak hingga menjadi manusia yang kotor. Entah kemudian hari si anak pula mewariskan kekotorannya pada cucu cicitnya.

Manusia dah tahu teori tersebut, bahkan dah boleh agak kesudahannya. Tapi masih juga meneruskannya. Kenapa?...degil.

Bila dah jadi masalah…masing-masing nak lepas diri dan menyalahkan pasangan masing-masing. Padahal dulunya dia sendiri yang memilih orang itu jadi pasangan. Sendirilah yang salah!!!. Ada ilmu tak digunakan, ada agama tidak dijadikan timbangan. Akhirnya, diri mereka juga yang terpaksa rasa kesengsaraan.

Masalahnya kesan kegagalan mereka bukan hanya dirasai oleh diri sendiri, bahkan yang paling teruk terkena tempias adalah anak-anak. Membesarlah anak-anak dalam keadaan tidak normal, terbiar, tiada kasih sayang….

Benarlah Firman Allah dalam surah al-A’raf:
والبلد الطيب يخرج نباته بإذن ربه والذي خبث لا يخرج إلا نكدا كذلك نصرف الآيات لقوم يشكرون
58. Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.

TANGGUNGJAWAB KITA
Ramai yang mengambil sikap bila berhadapan dengan masalah begini: “Ah lantaklah, bukan anak aku’’. Atau paling baik pun mereka berkata: “kesian ye, dah nasib mereka’’….Tapi perasaan kasihan tersebut terhenti sekadar kata-kata tanpa sebarang tindakan.

Remaja adalah harapan negara. Pembangunan insan dan kemajuan negara di masa hadapan bergantung sepenuhnya pada mereka. Generasi pelapis ini kalau berterusan rosak, negara juga akan rosak. Justeru menjadi tanggungjawab kita memimpin mereka kembali berada di atas landasan yang betul.

Usia muda mereka masih memiliki ruang yang luas untuk dibentuk. Cuma kita perlu sumbang sedikit masa dan tenaga untuk tujuan tersebut. Sekurang-kurangnya:

1) Dengar masalah mereka. Sesetengah remaja perlu orang yang boleh menjadi teman bicara untuk meluahkan masalah. Kadangkala mendengar sahaja sudah mampu melegakan apa yang terbuku di hati mereka.
2) Kaji punca masalah dan susun ikut keutamaan. Cuba selesaikan yang paling utama dulu. Biasanya berpunca dari masalah keluarga dan pokok masalah adalah kurangnya didikan agama hingga mereka tidak memahami apakah sebenar risalah hidup mereka di dunia ini.
3) Bertindak menyelesaikan masalah mereka satu persatu. Kalau masalah utamanya akidah dan agama, ajarlah mereka. Kalau tak mampu, carilah ‘orang yang mampu’ untuk membantu. Rasulullah SAW bersabda:

مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم كمثل الجسد الواحد، إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى

(Perumpamaan kaum muslimin dalam rasa kasih sayang adalah ibarat tubuh yang satu, apabila ada bagian tubuh yang sakit maka meradanglah bagain tubuh yang lain sehingga terasa demam dan susah tidur) Riwayat al-Bukhari dan Muslim
4) Beri harapan baru pada mereka. Rasulullah SAW bersabda:

(لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم) أخرجه الشيخان، البخاري، برقم: (4210)، ومسلم برقم: (2406)

“Seandainya Allah memberi petunjuk denganmu seseorang saja, itu lebih baik bagimu dibanding (memiliki) unta merah”.(HR Bukhari no:4210, dan Muslim 2406).

Ini sekurang-kurangnya perkara yang boleh dilakukan. Malangnya banyak sekolah yang ketandusan ‘muslim prihatin’. Ada sekolah yang guru-guru lebih banyak berprogram sesama mereka. Berusrah sesama mereka. Sedangkan para pelajar lebih perlu bimbingan.
Mungkin kita tidak mampu membimbing semua pelajar, sekurang-kurangnya sebahagian mereka sudah memadai. Ada juga barisan pelapis yang akan mengerakkan sekolah bila kita sudah tiada.
Bagi guru-guru yang tak mampu mengusrahkan pelajar, pasti ia mampu meluangkan masa memberi tuisyen percuma pada para pelajar khususnya yang kurang berkemampuan.
Sayangnya, banyak diantara kita yang mengatakan…tak ada masa. Dalam masa yang sama masih banyak ruang untuk MLM, pelaburan internet, berbicara pasal kereta baru dan sebagainya. Selagi halal teruskanlah tapi peruntukan sedikit masa untuk membentuk modal insan yang telah diserahkan di hadapan mata kita.
Mungkin kita berkata: “Aku dah ngajar kat kelas, udahlah”. Betulkah pengajaran di kelas sudah memadai? Adakah manusia terbentuk menjadi insan mulia hanya kerana teror math, sains? Makanan ruhi mereka juga perlu bimbingan. Seperkara lagi unsur perosak di luar sana tidak pernah kenal erti waktu kerja. Mereka tidak pernah bercuti…

Apatah lagi kalau dulunya ketika di Universiti kita ni telah ditarbiah dan diusrahkah. Dulu kita yang paling bersemangat nak tegakkan Islam. Maka bila dah sampai ke medan sebenar kenapa kita kehilangan taring? Mana perginya semangat?

Bukankah semua itu satu amanah besar dari Allah. Pasti kita akan dihisab atas segala kecuaian dalam melaksanakannya.




2 comments:

  • Umar al-Longobi says:
    April 4, 2009 at 8:08 PM

    pedas, tajam dan menyengat. tapi, amat bermanfaat. ya allah, kuatkanlah `taring-taring` kami agar kami bingkas bangkit dari lena yg panjang. amin..

  • Anonymous says:
    April 8, 2009 at 10:03 AM

    jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya..jika si ibu&bapa sudah terlalu lewat utk disedarkan & mgkin sukar disedarkan,adalah lebih baik jika si anak yg disedarkan, diberi didikan agama & motivasi, sampai masa nnt insyaAllah jika diizinkan-Nya mungkin si anak yg berjaya dibimbing ini pula yg akan mnyedarkan ibubapa mrk..tp usaha ini menuntut kehadiran, kesudian, kesanggupan dan keikhlasan insan prihatin d luar sana utk melaksanakannya..si anak mungkin sanggup merempuh apa saja demi merubah diri menjadi lbh baik, tp tanpa bimbingan yg lbh dewasa & pemerhatian,dtambah dgn pengaruh negatif d persekitarannya, pasti sukar buat mrk..smua org perlu fhm,bhw d jiwa remaja ini,mrk punya impian sma spt org lain..mereka tdk rela jd buih d lautan,kemana ombak d situlah ia,dan akhirnya hilang bgitu shja..tp mrk lbh rela mjadi setitis minyak, walau dibuang ke laut tetap timbul jua..-nasri21-