Friday, April 17, 2009

EXAM; JIHAD AKADEMIK



Hari ni giliran aku khutbah kat masjid UMS. Mujur sempat buat khutbah sambil meeting tadi. Kebetulan pelajarpun nak exam, aku buat khutbah pasal exam. Pendek je pun. Aku suka berteks kalau khutbah di Masjid UMS. Ada masanya mereka akan terbitkan khutbah tersebut. Lagipun universiti, biarlah akademik sikit. Baa…aku publish khutbah ini sebagai bahan bacaan. Sorry nda sempat di edit. Sesiapa nak baca balik sebagai khutbah..aku okey jak.



EXAM; JIHAD AKADEMIK

Sidang Jumaat,
Dalam Fiqh Islami para Ulama’ ketika membicarakan hukum berburu, membezakan antara hukum buruan anjing terlatih dengan anjing yang tidak terlatih. Atau dalam ertikata lain, anjing yang berilmu dengan anjing yang jahil. Atau lebih jelas lagi, anjing yang pergi sekolah dengan anjing yang tak pergi sekolah. Ini sesuai dengan firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ ومَا عَلَّمْتُم مِّنَ الجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ واذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ واتَّقُوا اللَّهَ إنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الحِسَابِ

((Mereka menanyakan kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?." Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas (termasuk anjing) yang telah kamu ajar dengan melatih nya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya))(Surah al-Maidah:4).

Di alam haiwanpun Allah tidak menyamakan antara anjing terlatih dengan ilmu berburu dengan anjing tidak terlatih, dimana binatang yang ditangkap oleh anjing terlatih halal dimakan.

Sidang Jumaat,
Kalau begitu halnya pada binatang maka peranan ilmu pastinya lebih besar di alam manusia. Manusia yang Allah amanahkan menjadi khalifah di atas mukabumi pastinya lebih memerlukan ilmu. Manusia perlu menguasai semua bidang keilmuan yang membolehkan mereka mengurus dunia ini menjadi lebih makmur dan bertamadun. Lantaran itu di alam manusiapun Allah tidak menyamakan antara orang alim dengan orang jahil. Firman Allah:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ والَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُوا
الأَلْبَابِ

(Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran)(Surah al-Zumar: 9).

Lantaran itu Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding manusia yang lain. Firman Allah:
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ والَّذِينَ أُوتُوا العِلْمَ دَرَجَاتٍ

(Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat) (al-Mujaadilah: 10).

Sidang Jumaat
Kita sudah mula berada di minggu peperiksaan. Peperiksaan adalah medium utama menguji dan membezakan tahap penguasaan pelajar dalam menguasai ilmu yang di ajar. Allah SWT juga mengunakan uslub menyoal (peperiksaan) untuk menguji kemampuan pengetahuan Malaikat dan Adam AS. Apabila mendapati Adam lebih berilmu dari Malaikat, Allah perintahkan Malaikat sujud kepada Adam. Bukan sujud penyembahan tetapi sujud sebagai tanda hormat dan tunduk pada penguasaan ilmu yang dimiliki oleh Adam.

وَعَلَّمَ آدَمَ الأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى المَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إن كُنتُمْ صَادِقِينَ . قَالُوا سُبْحَانَكَ لا عِلْمَ لَنَا إلا مَا عَلَّمْتَنَا إنَّكَ أَنتَ العَلِيمُ الحَكِيمُ . قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُم بِأَسْمَائِهِمْ فَلَمَّا أَنْبَأَهُم بِأَسْمَائِهِمْ قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ
((Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu mamang benar orang-orang yang benar!” Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: “Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?))(al-Baqarah:31-33)

Itulah sunnah alam yang telah ditentukan oleh Allah. Bangsa yang berilmu akan lebih bertamadun dan bangsa lain terpaksa tunduk dan sujud pada mereka. Dulu ketika umat Islam mengusai ilmu pengetahuan, barat dan timur tunduk kepada Islam. Apabila ilmu tersebut berpindah ke barat dan orang Islam mula kurang ambil berat. Orang Islam pula yang tunduk kepada barat.

Para pelajar sepatutnya memahami perkara ini, kecemerlangan mereka dalam akademik adalah imej dan lambang kehebatan dalam menguasai ilmu pengetahuan. Ilmu apapun bidangnya selagi bermanfaat kepada manusia adalah sumber kemuliaan. Dengan ilmu manusia berperanan melakar sejarah baru dunia. Ilmu yang berpasakkan iman dan takwa telah membawa umat Islam silam menguasai dunia. Khilafah dan tamaddun Islam tidak mungkin terbina ribuan tahun lamanya kecuali dengan ilmu.

Will Durant dalam bukunya The story of civilization menyebut: Secara ringkasnya Ibnu Sina orang yang paling hebat menulis dalam bidang perubatan di zaman pertengahan, al-Razi pula doktor yang paling hebat pada zaman tersebut, al-Beiruni ahli geografi paling agung, Ibn Haitham sarjana paling agung dalam bidang Optometry dan Optics , Jabir bin Hayyan sarjana paling agung dalam bidang kimia, Khawarizmi terkenal dalam bidang matematik, al-Idrisi dalam bidang geografi dan Ibn al-Baithar dalam bidang farmasi. Katanya lagi: Islam tidak pernah meninggalkan satu ruangpun dari ruang-ruang ilmu kecuali ia menerokainya dan memperkasa pengetahuan dalam bidan tersebut dan ini menolak sangkaan sebahagian orang yang Islam tiada hubungan dengan semua itu.

Sidang Jumaat khususnya para Mahasiswa/wi,
Kita berharap, siswa dan siswi dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada pelajaran khususnya di minggu peperiksaan. Kesungguhan yang ditemani dengan kekuatan solat, doa, dan tawakkal mutlak kepada Allah pasti akan menghasilkan kejayaan. Anggaplah menuntut ilmu, mengulangkaji pelajaran sebagai jihad. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Rasulullah SAW:

وَلَأَنْ تَغْدُوَ فَتَعَلَّمَ بَابًا مِنْ الْعِلْمِ عُمِلَ بِهِ أَوْ لَمْ يُعْمَلْ خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ أَلْفَ رَكْعَةٍ

(Engkau keluar pagi hari untuk menuntut satu bab dari ilmu pengetahuan, engkau mengamalkan atau tidak mengamalkannya, demikian itu lebih baik dari solat seribu rakaat) (Ibn Majah dan al-Bazzar)(Dhaif)

Abu al-Darda’ berkata
من رأى أن الغدو في طلب العلم ليس بجهاد فقد نقص في رأيه وعقله
(Siapa yang berpandangan bahawa keluar mencari ilmu pengetahuan bukan satu jihad maka sesungguhnya orang itu cetek pandangan dan kurang akalnya).

Kepada para pelajar, selamat berjuang…

3 comments:

  • nasri21 says:
    April 17, 2009 at 7:15 AM

    kebanyakan pelajar zaman sekarang hanya study untuk "BAB YG KELUAR" sahaja..
    bab2 lain pula ditinggalkan begitu sahaja..
    sedangkan misi utama sebagai pelajar adalah menuntut ilmu sebanyak mungkin..
    bukannya menduduki exam..

  • ♥ the fabulasity of me ♥ says:
    April 18, 2009 at 8:09 PM

    saya sokong nasri, kenapalah ada pelajar mcm tu. nnt abis study, d lupa suma yg d belajar. sbb motif mo lulus exam jak. jd lepas exam d buang jak buku tu, jual ngan budak junior lah. walhal, boleh guna lagi sbgi rujukan kelak kan.

  • aida says:
    April 18, 2009 at 11:41 PM

    asssalamualaikum...
    tidak di nafikan sekarang ini adalah minggu peperiksaan dan boleh dikatakan semua pelajar akan bersengkang mata untuk mengulankaji pelajaran dan ada yang duduk berjam-jam untuk membaca buku. mengapa dari awal kit tidak melakukan ini semua. kan bagus kalau kita membaca dari awal sekurang-kurangnyaingatan kita semakain bertambah menganai subjek tertentu. tapi ada juga pelajar yang suka membaca last minit dan mengatakan membaca saat2 akhir ini akan memudakan kita mengingat. namaun semua itu terpulang kepada individu itu sendir kerana merekalah yang mencorakkan masa depan sediri.