Tuesday, March 31, 2009

PEJUANG CINTA


Baru-baru ni seorang pemuda minta pandanganku tentang sahabatnya seorang lelaki yang tengah frust menungging kerana ditinggalkan oleh girfriendnya. ‘Kesian’ dia sampai merasakan yang hidupnya telah musnah. Dia dah tak nak buat apa-apa untuk masa depannya . Baginya masa depan adalah untuk wanita itu. Kini impian itu berkubur bersama pemergiannya. Bagi wanita itu, apa yang dibuat oleh lelaki itu membenarkan lagi tindakannya meninggalkan lelaki itu. Benar, bahawa lelaki itu tak layak memimpin hidupnya kerana ia tak mampupun memimpin emosi dan fikirannya.


Dulu waktu aku mengajar di KL, ada seorang pelajarku tak masuk kelas berkali-kali. Bila aku tanya apa masalahnya? Ia berkata, akhir-akhir ini ia terpaksa menunggu girlfriendnya di depan bilik kuliah kerana ada lelaki lain yang meminati girlfriendnya dan akan bawa girlfriendnya makan setiap kali habis kelas. Untuk memastikan lelaki tu tak ‘ganggu’ GF dia, dia tunggu sampai 3 jam di luar kelas. Ajaib…kelas aku langsung tak masuk…

Ini cuma beberapa kisah 'hebat' lelaki yang belum berumahtangga lagi telah memperhambakan dirinya kepada cinta. Pada seorang wanita yang belum menjadi isterinya. Ironinya, ia bersikap sedemikian ketika di kelilingnya masih ada jutaan wanita yang terpaksa memburu lelaki soleh dan berebut untuk mendapatkannya lantaran makin kurang lelaki dalam spesis begitu.

Aku tahulah kalau putus cinta memang kecewa. Tapi tak usahlah sampai berbulan-bulan kecewa. Seminggu dua dahlah. Hentuk kepala tu puas-puas, menanggis puas-puas. Tahajjud puas-puas, mengadu dengan Allah sebanyak mungkin…pasti lega perasaan tu. Yang penting anda telah buat yang terbaik, tapi dia tak nak!! Biarlah, pasti Allah akan gantikan ia dengan wanita yang lebih mulia di hadapan sana. Syaratnya andapun kenalah memperbaiki diri. Bukan memperbodohkan diri.

Nasib perempuan tu pun tak pasti lagi di masa hadapan. Panjang lagi masa. Banyak lagi sejarah akan tercipta. Andai ia bahagia…syukurlah. Andai derita…ia tanggunglah sendiri. Anda sudah pernah memberi ruang dan peluang. Jangan berdendam tapi tunggu dan lihat…

Ramai lagi wanita kat dunia ni Bro! pilihlah yang terbaik buat menjadi ibu pada zuriatmu. Kebaikan mewariskan kebaikan. Begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW pun pernah berpesan pada kita orang lelaki:
اخْتَارُوا لِنُطَفِكُمُ الْمَوَاضِعَ الصَّالِحَةَ
(Pilihlah tempat tumpahnya benih kamu tempat yang baik). (al-Dar Qatni, Ali bin Umar al-Dar Qatni, (1966), Sunan al-Dar Qatni, Beirut; Dar al-Makrifah, Jil. 3 Hal. 298 No. 196).

Alah Bro, nanggis sikit-sikit udahlah. Takde gunanya menitiskan airmata lama-lama hanya untuk seorang wanita sedangkan jutaan wanita sekeliling anda berebut mencari lelaki mulia.

Apatah lagi ramai lelaki sekarang sudah menanggalkan kelakiannya dan bertukar menjadi ‘separuh wanita’. Yang sempurna kelakiannya pula ada yang lebih meminati rakan sejenis dan bila melihat wanita ia tak merasa apa-apa yang istimewa. Dunia dah nak kiamat….

Pejuang cinta begini sebenarnya telah menyempitkan dunianya, impiannya dan peranannya dalam hidup. Mereka lelaki yang kelakiannya tak mampu mengangkat seketul batu kecilpun dari atas kepalanya, apatah lagi untuk mengangkat beban penjajahan dari kepala ummah.

Perjuangan hidup mereka hanya untuk nafsu dan keseronokan diri. Mereka pemburu romantis dan hamba wanita.

Berbeza dengan pemuda di zaman Rasulullah SAW. Seluruh umur mereka hanya untuk orang lain…untuk ummah…untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi. Wawasan mereka amat jauh, dari dunia hingga akhirat. Lihat saja pengorbanan Mus’ab bin Umair, menghabiskan waktu mudanya untuk perjuangan. Anak orang kaya ini akhirnya meninggalkan kota Mekah untuk melaksanakan misi dakwah di kota Yathrib. Melaksanakan arahan Rasulullah SAW. Hingga hampir semua rumah di Madinah telah menerima seruannya. Ini berlaku sebelum Rasulullah berhijrah ke Yathrib (selepas tu Madinah) lagi.

Mus’ab bin Umair akhirnya syahid di Uhud ketika usia muda dan harta milik terakhirnya Cuma sehelai kain…tapi syahidnya ia membuatkan air mata Rasulullah SAW menitis. Ia mati sebagai pejuang di usia mudanya.

Selain Mus’ab, ramai lagi pemuda Islam yang menghabiskan usia mudanya unuk mengejar cinta Allah melalui perjuangan. Mereka korbankan usia, harta dan nyawanya untuk agama Allah. Mereka mendambakan syurga yang dipenuhi bidadari jelita yang tiada tolok bandingnya dengan secantik-cantik wanita dunia.

Pejuang cinta di kalangan wanita juga tak banyak bezanya. Ramai yang sanggup meninggalkan perjuangannya yang membolehkannya memperolehi cinta Ilahi kerana mengikut kemahuan seorang lelaki. Setelah Allah membuka pintu cinta kepada pencipta, ia akhirnya menutup semua itu hanya kerana ingin memiliki kasih seorang lelaki. Lelaki yang tak pasti akan menjadi jodohnya atau tidak.

Sayang sekali, hidup pejuang cinta begini tak semuanya berakhir dengan syurga dunia…ramai dunianya telah menjadi neraka sebelum dunia dikiamatkan lagi. Ia telah merasai kiamat kecil dalam hidupnya. Hilang maruah dan harga diri walau baginya dia makin bermaruah dan harga dirinya makin bertambah mahal. Maklumlah kini ia sudah berpunya, sudah ada pasangan untuk berfikir masa depan yang tak pasti…ramai lagi kawan-kawannya yang tak laku. Bila rakan baiknya memberi teguran, ia anggap membernya itu cemburu. Padahal mata-mata yang melihat sebenarnya meluat kerana mereka menjadikan dunia ini hak milik berdua….

Dalam dakwah, pejuang cinta begini agak sukar untuk ditarbiah. Apatah lagi untuk memikul amanah berat bagi menegakkan agama dalam diri, keluarga dan daulah. Awal-awal lagi ia kalah. Menjual cinta Ilahi dengan cinta seorang lelaki. Ia telah memiliki seorang naqib hidup yang akan mengatur mazhab hidupnya sebelum waktunya. Lantaran itu pejuang cinta begini akan tidak merasa bersalah meninggalkan hidayah.

Sangat bahaya pemburu cinta begini. Rapuh benar impiannya. Apabila manusia menjadi targetnya, ia memburu cinta yang rapuh. Serapuh hidup dan mati.

Lucunya, bila sudah berjuang memburu cinta manusia. Biasanya halaqah mereka dari 10 tinggal lagi berdua. Silibusnya semakin berbeza. Bahkan kadangkala sahabat lama pun terlupa sudah namanya. Ini kerana syahadahnya hanya kenal satu nama…kekasih pujaannya.

Bagaimana kesudahannya perjuangan cinta begini…untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau timbulpun sabut itu, selalunya ia akan belayar tanpa haluan dan tak mampu digunakan walau untuk mengosok badan.

Sayangilah usia muda, itu usia perjuangan. Usia mencari kemuliaan. Usia mempertahan kehormatan. Membuat keputusan dan menentu hala tuju kehidupan. Sepatutnya tidak dihabiskan pada agenda yang langsung tidak mendatangkan manfaat pada keturunan akan datang.

Dalam aspek tarbiah dan dakwah, kewujudan orang begini mewjudkan banyak kontradaksi. Memandangkan ia ada 2 naqib, maka ia biasanya membawa 2 watak dan 2 wajah. Malamnya berbeza dari siang. Selalunya pandangan buah hati lebih utama dari sang murabbi. Ini kerana hatinya telah dimiliki. Sukar untuk ditembusi cinta ilahi. Akhirnya sang Murabbi terpaksa menerima hakikat yang ia telah kalah. Ia terpaksa membiarkan mutarabbi begini pergi. Gembiralah si buah hati kerana kini kekasih hatinya milik ia seorang. Ia boleh mengusungnya didaratan dan lautan.

Lantaran itu membersihkan cinta begini pada peringkat awal amat perlu dalam tarbiah. Bila ia kosong barulah boleh di isi dengan cinta ilahi. Cinta jihadi dan syurgawi. Ia akan mencintai manusia setelah yakin benar manusia itu mencintai tuhannya. Ia akan berjuang mempertahankan cintanya apabila meyakini bahawa manusia itu mampu memperkukuhkan perjuangannya. Cinta yang terjaga dalam pagar rumahtangga dakwah.

Adapun membunuh diri dan impian hanya kerana lelaki dan wanita begini, perjuangan yang kurang cerdik. Hanya yang lembab IIQnya dan rendah maruahnya sanggup mati untuk sesuatu yang tak pasti.

Tapi tak mustahil kisah begini akan menimpa diri kita sendiri, termasuk penulis ini. Lantaran itu dalam mencari cinta sejati pastikan rumahtangga tempatnya dan banyakkan berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي وَمِنْ الْمَاءِ الْبَارِدِ

(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cintamu dan cinta orang yang mencintaimu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cintamu. Ya Allah, jadikanlah cintamu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik). (Riwayat al-Tarmizi. al-Tarmizi, Muhammad bin Isa. al-Sahih Sunan al-Tarmizi. Beirut; Dar Ihya al-Turath al Arabi. Jil. 5 Hal. 522 No 3490).

6 comments:

  • Umar al-Longobi says:
    March 31, 2009 at 5:55 PM

    Salam abg!

    apabila membaca entri ini dan mengaitkannya dgn cinta & perjuangan, tiba2 sy teringat Novel Ayat-Ayat Cinta nukilan si `Hamka Kecil` dari indonesia. bagi kawan2 yang ingin belajar tentang cinta & perjuangan bermula zaman sebagai pelajar sehingga ke gerbang perkahwinan,mungkin novel ini AMAT sesuai sebagai panduan santai.

    novel ini bukan sekadar novel, tetapi sebuah `kitab cinta` yang diselitkan dgn ayat quran, hadis dan pendapat beberapa ulama. usah diharapkan isteri semulia AISHA jika diri kita tidak sealim FAHRI..

    p/s: kpd muda-mudi yg sedang kemaruk bercinta, sila dapatkan di pasaran sebelum kita tergelincir dan terjunam ke gaung cinta.

  • iqssq2 says:
    April 1, 2009 at 3:30 AM

    aslmkm,ustaz....

    hmmm..bagus pos ni..menarik!

    ana baca sparuh jer...nnti ana baca kmudian...

  • nasri21 says:
    April 1, 2009 at 8:33 AM

    ikutkan hati mati,,
    ikutkan rasa binasa..
    muhasabahlah diri selalu..
    bertaubat sebelum terlambat..
    yakinlah bahawa cinta Ilahi tiada tolok bandingnya dgn cinta kpd manusia..
    bukti cinta bukan pada BODY..
    tapi ketulusan hati budi..
    takkan lari gunung dikejar..
    tapi kejarlah cinta hakiki yakni cinta Ilahi..
    patah tumbuh hilang berganti..
    jgn memakan diri akibat patah hati..
    sesungguhnya pasti ada pengganti..
    kembalilah pada pencipta-Mu..
    Dia ada penawarnya..
    si sana akan kau tahu bezanya nilai kaca dan permata....
    berjuanglah kembalikan maruahmu, agamamu..
    pasti akan kau sedari dan kan kau temui sesuatu yg selama ini kau cari........

  • cintalondon says:
    April 2, 2009 at 9:40 AM

    ader ker lelaki yg setia dgn cinta sampai mcm tu?hehe..

  • aida says:
    April 19, 2009 at 12:25 AM

    assalamualaikum.......
    tika mata diuji manisnya senyumaan,
    terpamit rasa menyubur harapan,
    dan seketika terlontar ke dunia khayalan hingga terlupa singgkat perjalanan, tersedar aku dari terlena dibuai lembut belaian CINTA,
    rela aku pendamkan impian yang tersimpan enggan ku keasyikan,
    gusar keindahanya merampas rasa CINTA pada Dia yang lebih sempurna,

    diatas nama CINTA pada yang selayaknya,
    ku nafikan yang fana,
    moga dalam hitungan setiap pengorbanan agar disuluh cahaya rehdaNya,

    biar sendiri hingga hujung nyawa asal tak sepi dari KasihNya,
    kerna sesungguhnya hakikat CINTA hanya DIA yang Esa

  • signorriena says:
    July 2, 2009 at 5:29 PM

    salam ustaz,

    merujuk kepada comment umar al longobi, saya tertarik pada novel ayat2 cinta, bezanya saya menonton filem tersebut dan bukannya membaca novel karya habbiburrahman tersebut, mungkin jalan ceritanya sedikit lari dari karya asal tapi mesej yang disampaikan adalah sama.. betapa murninya kasih dan cinta aisha sehingga sanggup berkongsi kasih suami dengan orang ketiga... mampukah saya menjadi isteri seperti aisha sedangkan wanita lain pandang suami saya pun saya rasa nk meletup belum lagi suami nikah baru...

    kami (saya dan suami) telah berkawan (bergerek dalam bahasa melayu sarawak) hampir 7 tahun start dari sekolah menengah lagi..walaupun banyak dugaan yang saya hadapi terutama ketika bergelar mahasiswa di ums, alhamdulillah mampu saya hadapi masalah tersebut terutamanya yang melibatkan perasaan. saya berpegang kepada prinsip, biar saya dikecewakan asalkan saya tidak mengecewakan orang lain (gerek saya yang ketika itu belum menjadi suami saya) saya takut ditimpa perasaan...hukum karma

    berkat dari kesetiaan, ketabahan, doa dan restu orang tua, kini kami telah bergelar pasangan suami isteri yang sah aminn..