Tuesday, February 24, 2009

UNTUK APA KAHWIN?



Baru ni aku sempat beri ceramah pasal kahwin. Sesuai lah dengan kursus tu kursus pra perkahwinan anjuran JHEAINS dan UMS. Ini bukanlah kali pertama aku bagi ceramah pasal kahwin. Cuma bezanya tajuk kali ini membincangkan pasal Akidah dalam rumahtangga. Selalunya tajuk kegemaran aku ialah slot Komunikasi Suami Isteri.

Akidah adalah kunci kepada pembinaan peribadi dan rumahtangga muslim. 13 tahun Rasulullah di Mekah, dakwahnya tertumpu pada pemantapan aspek akidah ummah. Ayat al-Quran yang turunpun membicarakan soal akidah.

Seronok aku tengok anak-anak muda yang ikut kursus, pastinya ada yang dah bersedia untuk berkahwin atau sekurang-kurangnya terfikir nak kahwin. Dulu waktu aku nak kahwin takde siapa-siapa bagi kursus. Aku ambil bidang syariah, memang belajar bab hukum hakam rumahtangga. Tapi tak sentuh banyakpun soal persediaan berumahtangga. Apatah lagi risalah sebenar rumahtangga dalam perjuangan mengembalikan tamadun Islam. Mujurlah melalui usrah-usrah yang aku sertai, aku dapat banyak pendedahan mengenai peranan rumahtangga dalam gerak kerja amal Islami.


Ketika berusia 21 tahun aku bertunang. Sebelum bertunang aku sempat tulis surat yang ditandatangani oleh aku dan bakal isteri. Surat itu kami hantar pada kedua ibubapa kami di Malaysia. Bahkan aku hantar pada semua abang-abang angkat aku yang selama ini banyak sponser pengajianku semenjak sekolah menengah hingga universiti. Melalui surat itu aku merancang dari A sampai Z tentang rumahtangga yang bakal kami bina. Ia ibarat surat perjanjian antara kami berdua…perjanjian kami dengan ibubapa…perjanjian kami dengan ummah dan perjanjian kami dengan Allah. Antara yang tertulis:

“Kami sedar, apabila kami meletakkan diri kami di dalam alam rumahtangga bererti banyak cabaran, tanggungjawab dan bebanan yang bakal kami pikul. Kami yakin akan bahagia. Kami telah meletakkan matlamat yang betul untuk rumahtangga yang inginkami bina. Semua yang kami lakukan ini kerana Allah, untuk keluarga, untuk adik-adik, dan apa yang lebih penting ialah untuk tugas kami sebagai pemuda-pemudi Islam yang bakal kembali ke tengah-tengah masyarakat untuk berjuang membimbing (mentarbiah) mereka, menyeru ke jalan Allah dengan ilmu yang kami tuntut. …..(antaranya lagi) “Kalau kami dianugerahkan cahayamata, insyaAllah kami akan mendidik mereka agar lebih bermaruah, lebih soleh dan lebih baik dari kami”

Itulah asas rumahtangga kami yang dulunya begitu senang ditulis…tapi kini perlu dikotakan walau sesukar mana. Memang perlaksanaannya jauh lebih sukar dari berteori. Menulisnya di alam realiti tidak semudah menukilnya di atas kertas. Hingga kini aku rasa aku gagal memimpin rumahtangga menjadi apa yang pernah aku impi dan ku tulis....

Tapi sekurang-kurangnya ketika berumahtangga kami sudah ada pelan khusus malah didokumenkan. Asasnya juga sangat jelas: iaitu dakwah dan tarbiah. Itulah pelabuhan hidup yang kami ingin tuju sepanjang pelayaran bahtera rumahtangga. Rumahtangga aku juga macam orang lain. Ada kala dipukul ribut, dihempas ombak dan kadangkala aku terjatuh ke laut. Mujur masih sempat berpaut pada pelampung iman untuk naik kembali. Sebagai kapten kapal, kemudi bahtera ditangan aku. Kalau sesat, berpunca dari aku. Kalau gagal, juga kerana kegagalanku.

Hingga kini apapun yang terjadi, kami tidak pernah mengubah haluan kompas bahtera rumahtangga kami. Pelabuhan dakwah di situlah kami bermula dan di situlah kami harap penyudahnya. (Allahumma Amin). Sesuai dengan perjanjian kami. Aku bersyukur dikurniakan isteri yang mudah dibentuk menjadi sayap kanan ku yang cukup membantu dan kadangkala bersimpati denganku. Kami sangat yakin andainya kami ubah halatuju radar rumahtangga…bahtera yang kami naiki pasti akan tenggelam.

Apapun kami berdua akur…rumahtangga yang kami bina belum menjadi seperti yang diharapkan. Makin hari kerja makin banyak dan peranan makin besar sesuai dengan membesarnya anak-anak dan meningkatnya usia kami.

TAPAK

Tapak yang baik sangat penting dalam pembentukan rumahtangga. Orang yang membina rumah di kawasan berisiko tinggi, pasti hidupnya akan sentiasa dihantui rasa sangsi dan takut sepanjang masa. Islam ketika meletakkan agama sebagai tapak al-Bait al-Muslim, telah mengambil kira semua sudut kepentingan dan peranan rumahtangga. Maksud ‘agama’ ini pun boleh ditafsirkan dalam pelbagai pendekatan. Ada yang menjurus pada skop ibadahnya saja atau kemampuan ekonomi dan keupayaan mencari rezeki yang halal dan pelbagai tafsiran lain berasaskan kefahaman dan ilmu masing-masing .

Cuma, dalam kamus para pejuang agama mereka tafsirkan sebagai ‘memperjuangkan agama’. Agama itu adalah dakwah dan perjuangan.

Bagi mereka al-Bait al-Muslim tidak cukup sekadar diwarnai dengan syiar Islam, bahkan mesti dibina menjadi kubu kuat pejuangan dan markas gerakan untuk menyebar luas agama Allah di luar lingkungan rumahnya. Rumahtangga itu menjadi medan mempersiapkan qaedah sulbah bagi dakwah yang terhasil dari tarbiah yang sempurna pada diri anak-anak yang lahir dalam rumah tersebut. Hakikat ini mungkin janggal bunyinya bagi pemuda-pemudi yang dibesarkan dan hidup sekadar berfikir tentang nasib dirinya sendiri. Ia cuma boleh dihayati oleh orang yang lebih banyak berfikir tentang nasib ummahnya lebih dari nasib diri. Masa, tenaga, harta dan nyawa telah diwakafkan kepada Allah.

Bagi mereka itulah sahaja tapak yang paling kukuh untuk membina rumahtangga. Selain itu pasti akan roboh. Kalau pun tidak di dunia, tapi roboh di akhirat.

Benarlah firman Allah SWT:
أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى تَقْوَى مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَمْ مَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَى شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (109) لَا يَزَالُ بُنْيَانُهُمُ الَّذِي بَنَوْا رِيبَةً فِي قُلُوبِهِمْ إِلَّا أَنْ تَقَطَّعَ قُلُوبُهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (110)
((Maka apakah orang-orang yang mendirikan binaannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keridhaan-(Nya) itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang- orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu senantiasa menjadi punca keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.)) (Surah al-Taubah: 109-110)

TIANG

Tapak sahaja tidak cukup untuk membina rumahtangga yang kukuh. Ia perlukan 2 tiang seri yang kuat. Mereka ialah pasangan suami isteri yang memahami peranannya apabila berumahtangga. Islam telah mengajar kita supaya memilih orang yang beragama sebagai pasangan hidup.

Beragama boleh dilihat dari pelbagai aspek. Ada orang melihat agama hanya bersandarkan kekerapan ia menunaikan ibadah khususiah atau melihat pada penampilan luaran…berjanggut atau tidak, berkopiah putih atau bersongkok hitam, labuh atau pendek tudungnya…? Semua itu memang boleh dikaitkan dengan beragama, tapi cukupkah?

Para pemuda dan pemudi yang merasakan diri mereka adalah tentera untuk ummah ini pasti tafsirannya berbeza. Mereka tak akan sanggup bertoleransi dengan pasangan yang ia sedari tidak mampu menghayati perjuangannya. Tidak mampu menjadi sayap kanan dan kirinya. Bahkan menjadi duri yang sentiasa melambatkan perjalanannya. Ini kerana rumahtangga adalah amanah Allah dan hak ummah dalam mengembalikan ketamadun Islam di atas muka bumi ini. Pasangan pilihannya ialah orang yang beriman dengan fikrahnya dan meperjuangkan apa yang diperjuangkannya. Lantaran itu mereka cuma memilih orang yang ditarbiah seumpama mereka.
Kebahagiaan bagi mereka bukan pada peningkatan pendapatan tahunan atau bertambahnya asset untuk diwariskan pada anak-anak. Bagi mereka kebahagiaan ialah apabila aktiviti dakwah dan perjuangan semakin bertambah kuantiti dan kualitinyanya pada masyarakat sekelilingnya. Hasil dari sumbangan keluarganya. Rumahtangga begini menjadi landasan ke dua dalam mengembalikan Khilafah dan tamaddun (al-Banna).

REALITI

Kita terpaksa akur bahawa ramai pemuda pemudi Islam kini tidak memahami risalah hidupnya. Rumahtangga yang mereka binapun cuma ternampak Islamnya pada upacara akad nikah dan prosedur perkahwinan. Tapi kosong dari wawasan, misi dan visi. Mereka tiada kompas dan radar. Hanya kerena masalah kecil sahaja terus memilih jalan perceraian. Ini mereka bukan ada agenda besar untuk diperjuangkan dalam rumahtangga. Mereka cuma mencari kelazatan hidup duniawi. Hidup keluarga mereka hanya berligar pada isu-isu kecil, pada makanan, pakaian dan pendapatan. Kadangkala benda kecil itu pun sudah cukup menjadi alasan untuk mereka berpisah.

Akhirnya, hilang sakinah (ketenangan) hakiki dalam rumahtangga mereka. Ini kerana mereka mencari kebahagiaan itu pada material (rumah, kenderaan, wang yang banyak …) dan fizikal (cantik, handsome, berkedudukan…) .Semua itu benda mati yang kalau tak pandai mengurusnya akan mematikan hati. Semua itu hiasan duniawi yang akan kiamat bersama dunia. Kebahagiaan yang dibina atas semua itu sangat rapuh. Serapuhnya nafsu manusia yang sering dilanda penyakit ‘jemu’. Walau masih cantik dan masih kaya tapi dengan mudah dilepaskan kerana di luar sana lebih ramai yg cantik dan kekayaan yang ada mampu membeli apa saja pada pandangan mereka. Alasannya satu...jemu...

Agama yang terhias dalam diri manusia melalui iman dan takwa adalah punca sakinah. Rumahtangga yang di bina atas ikatan iman dan takwa akan dihujani bunga-bunga cinta, redha, toleransi, sabar dan qana’ah. Mereka tidak akan lupa bahawa tugas utama mereka ialah mengejar syurga ukhrawi terlebih utama dari syurga duniawi. Di situlah mereka ingin memetik buah atas segala amal yang mereka tanam ketika di dunia. Mereka ingin berbulan madu di syurga bersama dan selamanya walaupun ketika di dunia mereka tertinggal musim indah tersebut kerana penatnya berjuang.

Tapi semua ini cuma diimiginasikan oleh pemuda pemudi yang membesar dalam perjuangan.

TUNGGU DAN LIHAT

Apabila orang datang bertemu denganku, bertanya tentang rumahtangga yang bakal ia bina dan calon pilihan hatinya. Biasanya tapak dan tiang inilah yang akan aku tanya dulu. Aku akan cuba terangkan tentang teori Islam dalam membina rumahtangga. Kalau mampu aku beri nasihat, aku beri nasihat. Andai ia tidak setuju dengan pandanganku dan memilih neraca lain selain neraca agama…sering aku katakan teruskanlah keyakinan ana itu tapi dalam mode… try & error. Adai dia kata dia benar-benar yakin: aku cuma mampu menjawab…tunggu dan lihat....

Sedih sekali, ramai dah yang aku bagi nasihat dan pandangan sebelum berumahtangga yang datang semula kepadaku untuk meminta pandangan bagaimana nak selesaikan krisis rumahtangga mereka??. Pelik ! dulu dia tak mahu ‘nilai’ pandanganku tapi kini datang meminta penawar? ... Aku tidak memiliki apa-apa ubat untuk penyakit orang lain. Yang adapun sekadar keperluanku dan keluargaku. Cuma atas dasar simpati, aku sering melayan masalah mereka dan menjadi pendengar yang setia dan berempati.

Inilah bahananya apabila rumahtangga tidak dibina dari awal atas tapas dan tiang yang betul. Sejauh mana kualiti benih yang ditanam, itulah juga kualiti batang, dahan dan daunnya. Itulah juga kualiti buahnya. Ironinya nanti, buah itulah yang akan disemai semula menjadi benih…dan melahirkan pokok dan buah dari generasi ke generasi dengan kualiti yang sama.

Aku paling takut akibat tidak berkualiti, keturunan ku menjadi racun kepada ummah dan bukan nya penawar yang diharapkan. Mati nantipun pastinya saham dosa terus dikirimkan.

Aku teringat pesan bapa aku ketika mula berumahtangga. Ingat, keturunan kita telah melahirkan ramai orang alim dan pejuang. Pastikan ia berterusan....

5 comments:

  • ana muslim says:
    February 24, 2009 at 7:12 AM

    assalamualaikum wr wbt,

    Sangat menarik...jazakallah...

  • irshadian says:
    February 24, 2009 at 8:15 AM

    sebab tu lah kehadiran lebih drpd biasa sbb tajuk lebih hangat drpd biasa, keep it up!

  • Umar al-Longobi says:
    February 24, 2009 at 4:43 PM

    terima kasih. entri ini cukup memotivasikanku agar memperbetulkan segala yg silap, menyegarkan segala kejemuan dan memperkasakan bahtera rumahtangga spt mana yg abg telah jelaskan. ya, memang sukar dan kerap aku tersungkur. tapi, perjuangan perlu diteruskan...

  • Jas says:
    March 30, 2009 at 1:45 AM

    Terima kasih ust... artikel ni menusuk ke dalam hati... apa yang ust biacarakan tu...semuanya benar...

  • IF says:
    January 11, 2010 at 12:21 AM

    Terima kasih ust...

    Terima kasih...