Sunday, January 18, 2009

HAI ANAKKU!, BELAJARLAH DARI OMBAK DAN PANTAI

BELAJARLAH DARI ALAM

Sabtu yang lepas aku sempat bawa anak-anak ke tepian pantai Teluk Likas. Sambil menikmati udara senja, boleh juga anak-anak yang bercuti tu rehat sedikit. Maklumlah tinggal di asrama kadangkala membosankan. Apatah lagi penat yang dirasai oleh anak-anak masih terasa. Beberapa hari yang lepas mereka sibuk dengan sukan peringkat sekolah.



Seperti yang dijanjikan, aku sempat memberi sedikit tazkirah pada anak-anak yang akan ambil PMR dan SPM tahun ini. Kataku Tazkirah itu sebagai ganti halaqah yang sepatutnya dibuat minggu ini.


Kami pun duduk ditepi pantai sambil makan jambu air. Kedua-dua puteri kesayangan ku duduk di kiri dan kananku sambil mendengar dan bersoal jawab denganku. Anak-anakku yang kecil sibuk bermain panjat-panjat, biarlah mereka, memang zaman mereka.


Aku bertanya pada puteri-puteriku: angkara siapakah begitu banyaknya sampah sarap di pantai. Jawab mereka: mestilah angkara manusia. Benar itu semua angkara manusia dan kesudahan menyusahkan manusia. Allah SWT dah ingatkan manusia dari awal lagi supaya memelihara alam ini yang telah diciptakan cukup indah. Allah berfirman:


وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا

(Dan janganlah kamu membuat kerusakan di muka bumi, sesudah (Allah) memperbaikinya) Surah al-A’raf:56

Aku bertanya lagi: Bila dah kotor macam ini, siapalah yang akan tanggung kesan kesengsaraan? Mereka menjawab: Manusialah juga yang kena tanggung, mereka yang kotorkan mereka juga yang tanggung akibatnya. Jawapan mereka sangat tepat.


Aku memulakan tazkirah sebenarnya untuk mengingatkan mereka dan aku sendiri bahawa tatkala mana manusia lari dari peraturan yang Allah dah tetapkan, kesan keburukannya menimpa diri manusia sendiri. Bahkan segala tindakan manusia yang baik atau buruk, tidak sedikitpun mendatangkan manfaat dan mudharat pada Allah SWT yang Maha Agung lagi Maha Kaya. Manusia sendiri yang akan tanggung kesannya, untung ataupun rugi.

Begitulah juga dengan mereka yang banyak buang masa, tak belajar bersungguh-sungguh untuk menghadapi peperiksaan, lalai dari mengingati tuhan…esok kalau gagal, sendirilah yang akan tanggung akibatnya. Orang lain cuma boleh tumpang simpati.


Orang lain cuma boleh bagi tazkirah dan nasihat. Tuan badanlah yang terima akibat kalau kegagalan atau penderitaan yang menimpa. Kalau masih ada yang bersimpati, itu dah di kira baik. Tapi jangan salahkan pandangan orang kalau akhirnya mereka mengatakan ‘padan muka kau’ pada kita. Ini kerana mungkin kita selama ini terkenal degil, sombong dengan pandangan orang, angkuh, tak dengar cakap, menangguh-nangguhkan kesedaran yang ada atau buat tak endah dengan nasihat orang lain. Allah SWT berfirman:


أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (165)

Dan mengapa ketika kamu ditimpa musibah, padahal kamu telah menimpakan kekalahan dua kali lipat kepada musuh-musuhmu (pada peperangan Badar), kamu berkata: "Darimana datangnya (kekalahan) ini?" Katakanlah: "Itu dari (kesalahan) dirimu sendiri." Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Surah Al-‘Imran:165


Ya, apapun yang menimpa kita di masa akan datang, itu salah kita sendiri. Itu memang pilihan kita sendiri. Walau jutaan helai kertas kita tulis alas an atau nama-nama orang yang bersalah. Punca utama semua itu adalah bermula dari diri kita.


Ironinya, ada orang menunggu hingga ditimpa kegagalan baru nak berubah dan terima nasihat. Sebab itu bila ada orang minta pandangan pada aku, bagaimana nak bagi nasihat pada orang degil? Jawabku: Tunggu saat ia jatuh!.


BELAJARLAH DARI OMBAK


Aku teruskan sessi tazkirah dengan anak-anakku dengan main teka ombak. Setiap ombak yang datang, setakat mana jaraknya sampai kepantai?(kebetulan angin kencang di teluk Likas). Hampir tepat semua jawapan kerana ketinggian ombak yang sama memiliki kekuatan yang sama dan kemampuannya untuk sampai ke pantai juga sama. Aku minta puteriku melihat pada beberapa alun ombak yang datang, yang jauh lebih tinggi dari yang lain. Jarak ia sampai ke pantai lebih jauh kerana kekuatannya berbeza dari ombak-ombak kecil yang lain. Itulah undang-undang ‘sebab dan akibat’ yang Allah tentukan untuk alam ini dan termasuklah kehidupan manusia. Apapun benih yang ditanam, sudah boleh dijangka hasil yang dituai.


Kataku, kalau dalam tahun-thun sebelumnya mereka Cuma study tahap ombak kecil dan tahu resultnya tidak mencapai tahap cemerlang..maka kalau rentak yang sama dibawa ketika tingkatan 3 dan 5…tak payah tunggu hari keputusan diumumkan, awal-awal lagi keputusannya sudah boleh dijangkakan. Untuk berjaya perlu berubah dari ombak yang kecil menjadi ombak besar. Biarlah orang lain berterusan menjadi ombak kecil, tapi kalau nak menang dalam perjuangan kenalah memiliki kelainan dan menjadi ombak besar.


Berubah dari ombak kecil ke ombak besar memerlukan bantuan angin yang kencang. Angin itu adalah roh yang terbit dari kekuatan ibadah, tahajjud, puasa sunat dan kesanggupan memerah ‘waktu 24 jam’ hingga mampu menghasilkan jus kejayaan.


Samalah dengan reality kehidupan. Andainya kita hidup sama seperti orang-orang dulu yang pernah gagal dan kecewa dalam hidup, kita juga akan alami jalan cerita yang sama. Lantaran itu perlunya mencontohi kehidupan orang berjaya di kalangan para Nabi dan Rasul. Atau orang-orang terdahulu yang cukup berjaya pada pandangan mata kita. Cuma perlu betul dalam meletakkan ukuran kejayaan. Perompak yang berjaya melarikan jutaan ringgit juga beranggapan mereka telah berjaya. Apatah lagi yang mereka jangkakan cuma hasilan ribuan ringgit. Orang beriman menjadikan pembaris dan timbangan agama sebagai alat pengukur dan penimbang kejayaan seseorang.


Kekuatan agama sahaja yang dapat memastikan manusia mampu bertahan menghadapi ribut kehidupan akhir zaman yang cukup kuat. Banyak manusia telah diterbangkannya. Akhirnya terhempas di lembah penderitaan dan kegagalan.


Petang itu sekembali dari pantai dan mengerjakan solat, aku lihat anak-anak ku masing-masing ambil buku nota...mudahan mereka membesar lebih baik dari kami, meraih kekuatan yang diperlukan dan menjadi penyambung perjuangan kami untuk memartabatkan Islam kembali berkuasa di atas mukabumi.



7 comments:

  • Umar al-Longobi says:
    January 20, 2009 at 7:53 PM

    alhamdulillah... artikel santai yg sarat dgn pengajaran bagi mereka yg berfikir. betul, kekuatan angin itu merupakan faktor besar kecilnya ombak. Tapi, apakah yang menggerakkan angin itu? tidak lain, disebabkan tarikan graviti bulan dan matahari. justeru, kalau ombak itu adalah roh... apa pula jolokan yg harus diberikan kpd tarikan graviti ini. mungkin `RAHMAT ALLAH SWT`. mungkin kan abg... hehe. apapun, diucapkan SEMOGA BERJAYA kepada adik-adik yg bakal mengambil PMR/SPM pd tahun ini. Dengar cakap abi/umi, insyaAllah berjaya. amin..

  • احمد نظيف بن اسحاق says:
    January 20, 2009 at 8:55 PM

    Assalammualaikum..

    Wah jumpa juga uncle sarip di blog ye..
    Macam mana boleh jumpa Ajib di blog?
    Hmm insyaallah nanti Ajib try ajak abah datang Sabah ye..
    Ajib memang teringin nak naik KK ni..

  • Abu Syifa' says:
    January 20, 2009 at 11:32 PM

    Kan ada link pd blog ayah ajib...he he. Nampak gambar kat Mekah, dah jadi Haji Nazif la nie...alhamdulillah.

  • gondai says:
    January 21, 2009 at 2:29 AM

    Sarip, ni abang Jaafar..tak sangka pulak sarip ada blog..kalau pergi KL, singgah2 lah kat rumag abang kat Shah Alam....

  • Abu Syifa' says:
    January 21, 2009 at 7:45 AM

    Askm Abang Jaafar...blog utk pelajar sarip jer..rupanya Fatin dah di Jordan. Nantilah sarip minta keluarga angkat arab tengokkan dia. Selalu juga bapa angkat arab tu call. Sepatutnya jumaat ni ada meeting di Putra Jaya, tapi ptg tadi mrk tangguhkan. InsyaAllah teringin juga nak jumpa abang..kami pun dah tak lama balik semenanjung. Kirim salam dgn kak.

  • Anonymous says:
    January 22, 2009 at 3:22 AM

    jika ombak besar mampu pergi lbh jauh dari ombak kecil,maka jgnlah dgn kekuatan yg ada pada ombak besar itu membuatkan ia mjadi riak serta menghanyutkan umatnya umpama tsunami..samalah seperti manusia yg mpunyai kuasa,tp mnyalahgunakan kuasa mereka..dan jgnlah kita mjadi pengkhianat agama dan bangsa seandainya kita adalah ombak2 kecil yg mengikuti ombak2 besar itu..jika tidak kita pasti dlaknat Allah..samalah spt apa yg menimpa allahyarham yasser arafat...belaiu merupakn simbol perjuangan di palestin,tp akhirnya pergi angkara dkhianati saudara sdiri..pro-palestin

  • irshadian says:
    January 22, 2009 at 5:56 PM

    huhu tears drop, it reminds me about my ayah in kampung..my mak n ayah is my ultimate supporter

    syifa' n wafa', you are the best! bittaufeeq wan najah for your coming PMR n SPM. meh sini kak amal top up preparation u all bila u all free!!!

    kuntum khaira ummah ukhrijat linnaas!
    aali imran;110