Wednesday, November 26, 2008

PERGINYA HARUMAN SYURGAWI

Sabtu yang lepas, aku, bapa dan abang sempat menziarahi makam mak di Bukit Suai yang jaraknya lebih kurang 4 km dari kampung untuk meletakkan batu nisan di atas kubur mak. Mak pergi meninggalkan kami pada jam 2.45 pagi bersamaan 16 syawal 1429H yang lalu. Batu nisan tu aku beli di Lokawi dengan harga RM70. Itulah sahaja kebaikan terakhir dalam bentuk material yang mampu aku berikan pada mak setelah puluhan tahun dia besarkan, didik dan jaga aku hingga bergelar seorang ustaz dan pensyarah.... Rasa tak puas ziarah kubur mak.

Dulu ketika kami masih kecil, mak sering membawa aku ke mana-mana. Selalu dia usung pakai kain sarung yang disangkut di bahunya. Maklumlah aku anak sulung hasil perkongsian mak dengan bapa (aku ada 3 kakak dan 2 abg tiri, anak mak dengan suami dulu). Kata mak waktu aku kecil, akulah yang paling kuat minum susu. Tak cukup dengan susu ibu, terpaksa minum susu tambahan. Se tin dumex yang besar aku cuma habiskan seminggu. Aku pun tak tahu kenapa, yang aku tahu aku tetap bawa botol susu ke sekolah ketika darjah satu dan berhenti menyusu ketika dah darjah 3 atau 4. Itupun setelah bapa aku mengamuk kerana tak pandai berhenti menyusu. Dia telah menjatuhkan hukuman pancung ke atas botol susu aku, depan mata lagi.

Mak apabila masak ayam (selalunya gulai kari je lah, berkuah dan boleh simpan dua tiga hari) selalunya akan serve untuk aku dulu, maklumlah aku ni cerewet makan. Cuma isi dada jer yang aku makan…yang lain-lain bikin loya tekak jer, sampailah sekarang. Mak selalu suapkan aku makan walaupun waktu itu aku sudah sekolah rendah. Bahkan tiap malam aku mesti tidur dengan mak sampailah aku darjah 6.

Mak agak keras perwatakannya tapi tidaklah garang. Katanya ia dibesarkan penuh kepayahan. Umur 10 tahun, maknya telah meninggal. Mak terpaksa menjaga pak su yang baru dilahirkan. 10 tahun mak telah menjadi seorang ibu menjaga adiknya yang masih kecil. Mak terpaksa menanak nasi setiap hari dan memberikan air rebusan beras sebagai ganti susu untuk adiknya (Bongsu/Pak su). Zaman Jepun, kampung kami tidak terlepas dari penjajahan. Mak kata, mereka terpaksa makan ubi kayu sebagai ganti beras. Kalau ada beraspun jepun rampas. Sedih gak aku mendengar cerita mak aku kecil-kecil dahulu.

Di kampung mak sangat disayangi. Dia terkenal suka bantu orang. Kata mak ramai pemuda dan pemudi kampung haram berkahwin dengan kami kerana mak kata kami saudara se susuan. Mak sering susukan anak-anak sedara di kampung bila ibu mereka berhadapan masalah atau anak-anak yang kematian ibu mereka ketika lahir. Mak juga terkenal ringan tulang, suka bantu orang. Orang selalu ziarah dan tinggal di rumah kami berhari-hari berbanding orang lain di kampung.

Dulu mak sering ulang alik ke Lawas berniaga di tamu Lawas seminggu sekali. Jam 3 pagi mereka dah bertolak naik lori. Tapi orang-orang kampung akan suruh mereka duduk sebelah pemandu. Bukan di luar. Sayangnya mereka padanya.

Tingkatan 1 ketika aku berusia 12 tahun, aku terpaksa berpisah dengan mak dan bapa. Aku orang pertama dapat masuk sekolah agama. Akupun tak tahu sekolah agama tu apa. Yang aku tahu pasti seronok sebab sekolah tu kat Kuching, aku boleh rasa naik kapal terbang. Apatah lagi aku orang pertama dari kampungku yang dapat sekolah jauh. Tapi sampai di sana, baru seminggu, aku menaggis nak balik. Aku rindu mak dan bapaku. Lagilah hari pertama sekolah, ketika perbarisan, aku menanggis di perhimpunan. Apa taknya dahpun aku paling kecil, paling muda...pakai seluar sekolah pula seluar pendek sedang orang lain semua pakai seluar hijau panjang...bapa aku rupanya macam aku, tak tahu bezakan keperluan sekolah agama dengan sekolah biasa.

Aku cuma mampu pulang kampung setahun sekali. Aku dah tak dapat beraya bersama mak lagi. Bukan setahun dua, tapi lebih kurang 17 tahun baru aku dapat beraya bersama mak semula. Tiap kali balik hujung tahun, mak akan kelam kabut. Dia akan buka almarinya yang terkunci dan panggil aku senyap-senyap...katanya: Awang, ani bahagianmu. Dia keluarkan beberapa botol air gas...sampai sekarang aku suka air tersebut...buatan sibu, sarawak (org kedayan panggil laminit) yang ia simpan untukku ketika hari raya. Selalunya aku minum puas-puas tanpa sempat melihat tarikh luputnya. Jaga hati mak. Alangkah sayangnya mak pada aku...selalunya adik-adik akupun tak tahu kat mana mak sembunyikan..

Bapa kata ketika mak balik selepas menghantar aku ke Lawas untuk ke Brunei & seterusnya ke Kuching (tingkatan 1). Mak hampir pitam dan menanggis tak henti-henti...sedih berpisah dengan aku. Tapi aku seronok waktu itu...sebab tak sabar nak naik kapalterbang Royal Brunei. Sayang benar mak pada aku.

Kata bapa lagi, sekali lagi mak hampir pitam bila terima surat aku yang mengatakan aku sudah berpindah sekolah ke Kolej Islam Kelang. Aku dah sampai sana baru aku tulis surat...katanya makin jauhlah aku, maklumlah terpaksa naik dua kali kapalterbang. Sayang benar mak pada aku. Sayang betul mak pada aku...

Bila aku dewasa, bekerjaya dan berumahtangga baru aku tahu apa itu kasih sayang sebagai ibubapa terhadap anaknya. Dulupun bila mak mertua aku pinjam anak sulung aku balik kampung seminggu...baru je semalam aku, aku sanggup ambil cuti dan travel ke Johor. Aku ambil balik anak aku. Aku tak boleh tidur tanpa tengok anak aku. Itu baru semalam...sedang Mak aku terpaksa berpisah dengan aku berbelas tahun lamanya...aku juga anak sulung..

Syukur juga, bila dah kerja, sempat gak mak bapa aku pergi semenanjung...hampir semua negeri dia pergi kecuali Kelantan dan Trengganu. Mak aku suka pelbagai rasa masakan walau pun pelik...berbeza dengan bapa. Pelik sikit dia tak makan, macam aku...

Last sekali sebelum ramadhan aku bawa mak ke Tenom, dah banyak kali ia sebut. Ia tak pernah sampai Tenom dan ia nak sangat rasa jalan baru Sipitang-Tenom. Aku pun bawa walaupun aku tahu kereta aku bukan sihat sangat. Akupun tak pernah lalu jalan tu...rupanya terpaksa lalui bukit yang tinggi...berasap kereta aku. Sampai di Tenom aku terpaksa baiki brek dia. Kalau tak sure tak boleh balik rumah.... Tapi demi mak...
Aku tahu mak bapa aku sayang kami melebihi segalanya...mereka memberikan segalanya dan mengambil bakinya sahaja untuk diri mereka. Mak bapa aku sanggup makan tengkuk, tungking dan kaki ayam dan memberikan isinya pada anak-anak. Mereka sanggup berkaki ayam di hari raya, yang penting anak-anaknya berpakaian baru...mereka telah melaksanakan amanah yang Allah berikan pada mereka cukup baik pada kami. Kita pula sebagai anak...sering memberi baki kebahagiaan pada mereka dan sebahagian besarnya untuk diri sendiri...

Mak...tak tergambar sayang kami padamu...

Tahun 2000 aku akhirnya buat keputusan balik kampung dan berhenti dengan 3 bulan notis dari UIAM. Sekadar memenuhi tuntutan Allah SWT ketika berfirman:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنْ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ(14) سورة لقمان

(Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14)

Tiga bulan aku menganggur, tapi berkat niat yang betul dan doa ibubapa, aku dapat kerja...bahkan sekarang aku jadi pening sebab banyak sangat tawaran kerja...

Aku bersyukur dapat isteri yang sangat hormat dan mak bapa aku...Arwah mak juga sangat sayangkan isteri aku. Mak paling suka masakannya khususnya laksa utara dan kari kepala ikan tanpa santan. Mak bapa aku tak suka masakan bersantan. Semua yang isteri aku masak mak suka, sebab kami tahu selera mak. Kalau pergi ke mana-mana, aku cukup jaga makan mak bapa. Bapa setiap kali singgah kedai, mesti order kopi O, mak aku pun sama...mak aku paling suka soto (Mee hon sup)...agaknya kerana itu di akhir hayat dia kena darah tinggi.
Raya tu mak memang tak larat, tapi dia nak sangat solat sunat hari raya dan dengar aku khutbah. Aku dukung mak turun dari rumah dan masuk kereta...Itulah solat berjamaah terakhir mak...berimam kan aku..Isteri aku yang solat di sebelahnya minta ia solat duduk...tapi ia tak nak...semua orang bersalam dengan mak...rupanya untuk kali terakhir..

Tanggal 15 syawal...mak dah cakap dengan bapa. Esok dia nak pergi... Kami buat-buat tak faham saja.... Siang tu, aku puasa sunat syawal...sebelum berbuka aku minta izin dengan mak nak pergi pekan sipitang, berbuka kat sana. Mak kata mulut aku busuk sebab biasanya orang puasa mulut busuk. Padahal awak tu jarak aku dan dia cukup jauh...tapi memang deria bau mak cukup kuat sampai akhir hayatnya.

Balik dari berbuka, aku terus rehat di balai pelawat bersama bapa dan anak-anak. Isteri ku jaga mak di wad. Dalam jam 9 malam, isteri aku call suruh bapa datang sebab mak suruh datang. Aku pun kejut bapa yg tertidur sebab keletihan. Dah berminggu bapa kat hospital jaga mak dan langsung tak balik ke rumah...sayang benar bapa pada mak. Aku pun ambil cuti seminggu sebab nak jaga mak...dari KK aku terus pergi hospital. Aku tak balik kampung langsung.

Lepas tu isteri aku call lagi, katanya mak tanya pasal aku. Aku pun datang. Mak mengiringkan badannya dan tak henti-henti menyebut kalimah ’Allah’...kata isteri ku dari jam 8 mak dah macam tu, tak banyak berkata-kata kecuali kalimah ALLAH...satu wad boleh dengar dia ucapkan. Malam tu cuma ada 2 pesakit tapi yang seorang berada di bilik berasingan. Aku sms semua adik-adik minta mereka datang. Malam tu wad penuh sesak dengan kami adik beradik. Dalam jam 1.00 mlm, aku duduk depan mak. Dia peluk aku, dia tanya: ”Apa lagi yang mak perlu baca?” Aku kata : ucapkan Lailaha Illallah banyak-banyak”, dia pun ucap berkali-kali. Kemudian sambil dia peluk bahu ku, dia tanya lagi: ”kemudian apa lagi?”. Aku kata: ”ucapkan Muhammad rasulullah”. Dia pun ulang-ulang. Kemudian dia ulang-ulang sifat 20 berkali-kali. Kemudian dia tanya lagi, nak baca apa lagi. Aku kata: Mak rehatlah, saya nak baca Yasin....terus dia baca Yasin, sekadar yang dia hafaz. Mungkin dia silap dengar. Lepas tu aku angkat tangannya dan suruh ia berehat. Dia pun mengiring semula dan terus mengulang-ulang kalimah ’Allah’ sampailah ia menghembuskan nafas terakhirnya dalam jam 2.45 pagi. Innalillah Wa Inna Ilaihi Raji’un. Setelah selesai semua urusan di hospital, aku bawa jenazah mak balik ke rumah menggunakan ambulans. Kami uruskan jenazah mak dengan penuh cucuran airmata. Aku orang ke dua jirus jenazah mak selepas bapa. Selepas tu kami serahkan kepada orang perempuan untuk menyelesaikan urusan mandi, kafan. Bapa minta aku jadi imam solat jenazah dan di kubur aku dan adik-adik lelaki uruskan jenazah mak di liang lahad. Pergi orang yang syurgaku berada di bawah telapak kakinya....Rasulullah SAW bersabda:
( إلزمها فإن الجنة تحت أقدامها )
(Lazimilah ia (ibu) maka sesungguhnya syurga di bawah tapak kakinya)HR Ahmad dan Nasaie

Apapun aku bersyukur sebab masih ada bapa. Aku tak pernah nampak kesedihan di wajah bapa lebih dari hari tersebut. Kerap kali bila aku call pagi jumaat, bapa kata ia di kubur mak, ziara, bersendirian…Itulah kasih sayang sejati…cinta sampai ke mati. Padahal mak hampir 7 tahun lebih tua dari bapa.

Kini mak tak mampu rasai wang yang ku hantar tiap bulan. Tak mampu rasai masakan isteriku....segala-galanya telah berakhir. Aku rasa tak puas membahagiakan hidup dan hati mak. Bahkan aku tak mampu lagi mencium haruman syurgawi yang ada di bawah telapak kaki mak setiap kali aku hantar wang, bawa ia melancong, belikan pakaian baru...semuanya telah berakhir. Aku terfikir, bagaimana nasib anak-anak derhaka yang kehadirannya hanya menambah sengsara dan duka ibubapanya? Makin dewasa bukan menyenangkan orang tua bahkan menyusahkan mereka?. Tak pernah terfikir untuk berkhidmat pada orang tuanya, tapi rajin pula berdoa siang dan malam agar dimasukkan ke dalam syurga?. Haruman syurga itu sudah ada di hadapannya, pada redha ibu dan bapanya!.

Memang aku tak puas hidup bersama mak...ketika kecil dan usia remaja aku habiskan di perantauan. Menuntut ilmu untuk jadi manusia macam sekarang. Walau tak hebat tapi sudah lebih dari cukup...Bila dah dewasa dan semakin tua, aku pula jadi pensyarah yang sering sibuk di hujung minggu. Apapun aku bersyukur akhir hayatnya penuh dengan kebaikan dan kegembiraan...Kata isteri ku waktu hari raya, mak pernah cerita pada dia...dia bangga dengan aku...
Raya tu mak memang tak larat, tapi dia nak sangat solat sunat hari raya dan dengar aku khutbah. Aku dukung mak turun dari rumah dan masuk kereta...Itulah solat berjamaah terakhir mak...berimam kan aku..

Bagi mereka yang masih ada ibubapa yang masih hidup...apa yang kalian telah buat untuk memperolehi redha mereka?. Bukankah syurgamu itu di ada di hati mereka?. Rasulullah SAW ketika ditanya tentang hak ibu dan bapa. Kata baginda: ”Ibu dan bapamu adalah syurga dan nerakamu”.

Kini yang mampu ku kirimkan setiap hari hanyalah ungkapan-ungkapan doa dari seorang anak pada ibunya. Dan...membahagiakan hati bapaku selagi hayatnya dan hayatku masih ada. Aku amat mencintai mereka seperti yang diperintahkan oleh tuhanku...Mak, Kami amat menyayangimu, menyintaimu....Kau lah ratu hati kami...
Ya ALLAH Tuhan yang menciptakan kami, menentukan hidup dan mati kami...himpunkanlah aku bersama mak, bapa, isteri dan anak-anakku di syurgamu. Mudahan kami mampu mengapai janjimu ketika berfirman:
وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ (21) وَأَمْدَدْنَاهُمْ بِفَاكِهَةٍ وَلَحْمٍ مِمَّا يَشْتَهُونَ (22) يَتَنَازَعُونَ فِيهَا كَأْسًا لَا لَغْوٌ فِيهَا وَلَا تَأْثِيمٌ (23) وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ غِلْمَانٌ لَهُمْ كَأَنَّهُمْ لُؤْلُؤٌ مَكْنُونٌ (24) وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَى بَعْضٍ يَتَسَاءَلُونَ (25) قَالُوا إِنَّا كُنَّا قَبْلُ فِي أَهْلِنَا مُشْفِقِينَ (26) فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا وَوَقَانَا عَذَابَ السَّمُومِ (27) إِنَّا كُنَّا مِنْ قَبْلُ نَدْعُوهُ إِنَّهُ هُوَ الْبَرُّ الرَّحِيمُ (28)(
(Dan orang-oranng yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya. Mereka berkata, "Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)". Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang).[i]

)جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ (23) سَلامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ (24)(
(Syurga 'Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): "Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu". Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu).[ii]
Ya ALLAH, kami amat berharap....

[i] Surah al-Tur : 21 – 28.
[ii] Surah al-Ra'd : 23-24

4 comments:

  • MotivasiMalaysia.Com says:
    November 26, 2008 at 5:26 AM

    Abg Sarip,

    Belum terlambat utk sy sekeluarga ucapkan takziah di atas kembalinya mak kpd Allah SWT. Berkaca juga mata ni membacanya. Sy tumpang sedih. Apapun, di sebalik kesedihan ini terselit rasa kebanggaan, kesyukuran serta kegembiraan kerana perginya merupakan satu pemergian yg baik dan penuh kemuliaan. Dari jauh didoakan agar roh mak dirahmati Allah SWT dan diletakkan di dalam golongan org2 yg beriman. Amin...

  • Professor says:
    November 26, 2008 at 3:16 PM

    askm.wrt.ust,
    Sedih sy baca artikel ni..berlinang airmata walaupun mata terasa pedas, tidak tidur semalaman di makmal...(teringat pl mama bapa sy)..semoga Allah menempatkan ust sekeluarga di syurga bersama2..amin..
    (ofelia)

  • Muslimin Agung says:
    November 27, 2008 at 7:22 PM

    Salam Wasilah Ukhuwah Fillah

    Mewakili sahabat-sahabat seperjuangan, kami ucapkan takiah kepada Ust sekeluarga. Semoga tabah menghadapi ujian daripada-Nya. Teruskan berkongsi ilmu dengan kami yang dahagakan ilmu daripada ilmuwan seperti Ust. Maaf atas segalnya

    http://musliminmukhlisin.blogspot.com

  • irshadian says:
    November 27, 2008 at 7:46 PM

    takziah, tears drop