Thursday, August 28, 2008

SOLAT TERAWIH

SOLAT TERAWIH

Sarip Adul

PPIB-UMS

Tetamu ramadhan yang dirahmati Allah,

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih lagi menghidupkan kita dalam bulan yang mulia ini, bulan yang diturunkan padanya seribu satu keberkatan, rahmat dan keampunan daripada Allah swt. Bulan yang mengubah panorama kehidupan manusia, luaran dan dalaman, rohani dan maaddi. Rentak dan jarak langkah orang mukmin apabila tiba bulan ramadhan juga akan berubah, bertambah rancak melakukan kebaikan dan semakin lesu untuk memikirkan kejahatan, apatah lagi untuk melakukannya.

Tetamu ramadhan,

Antara kelainan yang mampu kita lihat dalam bulan ramadhan ialah setiap kali tiba waktu solat Isya’, rumah-rumah Allah bertambah makmur dari bulan-bulan sebelumnya. Umat Islam datang beramai-ramai untuk menunaikan solat Terawih di Masjid, salah satu ibadah penting dalam Islam yang cuma disyariatkan dalam bulan ramadhan.

Ia pernah dilakukan oleh Rasulullah saw secara berjamaah di masjid, kemudian baginda meninggalkannya kerana takut-takut solat itu difardhukan ke atas umatnya.

Tetamu ramadhan,

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan satu hadith dari Aishah r.a dimana Aisyah telah menceritakan kisah pensyariatan Solat terawih dan berkata: Sesungguhnya Rasulullah saw telah mengerjakan solat Terawih secara sendirian di Masjid, lalu orang ramaipun mengerjakan solat seperti solat baginda. Kemudian pada malam yang kedua, mereka solat dibelakang Rasulullah saw (yakni berjamaah) dan orang semakin ramai. Kemudian orang ramai berhimpun pada malam ke tiga dan ke empat, namun Rasulullah saw tidak keluar menemui mereka. Maka keesokan harinya, Rasulullah saw berkata kepada mereka:

(قد رأيت الذي صنعتم، فلم يمنعني من الخروج إليكم إلا أني خشيت أن تفرض عليكم)

(Aku telah melihat apa yang kamu lakukan (yakni berhimpun untuk mengerjakan terawih secara berjamaah). Tiada suatupun yan menghalang aku untuk keluar berjamaah bersama kamu melainkan aku takut-takut solat itu kelak di fardhukan ke atas kamu).

Justeru kerana takut solat terawih yang sunat hukumnya bertukar menjadi fardhu, baginda saw selepas dari peristiwa itu tidak mengerjakan solat Terawih di Masjid secara berjamaah. Ini tidaklah bermaksud mengerjakan solat terawih sudah tidak sunat lagi, bahkan hukum sunatnya tetap kekal begitu juga mengerjakannya secara berjamaah di masjid tetap dianggap satu kelebihan berbanding mengerjakannya secara sendirian. Lantaran itulah di zaman pemerintahan saidina Umar bin al-khattab r.a, beliau telah menghimpunkan umat Islam mengerjakan solat Terawih berjamaah berimamkan seorang Imam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika mula-mula solat itu disyariatkan.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abdul rahman bin Abdul Qari berkata: pada satu malam dalam bulan ramadhan, aku telah keluar bersama Umar ke Masjid, lalu kami dapati orang ramai berada di merata-rata penjuru masjid, masing-masing mengerjakan terawih bersendirian. Lalu Umar berkata: ( Aku rasa, kalaulah aku mampu menghimpunkan mereka ini mengerjakan solat dibelakang seorang qari, nescaya demikian itu lebih baik), Lalu iapun menghimpunkan mereka mengerjakan solat terawih berimamkan Ubai bin Kaab. Lalu apabila ia keluar pada malam-malam berikutnya, dan melihat umat Islam solat terawih berimamkan seorang imam ia berkata:

(نعم البدعة هذه، والتي ينامون عنها أفضل من التي يقومون – يريد آخر الليل- وكان الناس يقومون أوله)

(Inilah sebaik-baik bid’ah, orang yang tidur di penghujung malam (dan mengerjakan terawih di awal malam) lebih baik dari orang yang mengerjakannya di akhir malam, lalu orang ramaipun mengerjakannya di awal malam).

Tetamu ramadhan,

Apapun, bermula dari zaman Saidina Umar al-Khattab, solat terawih dilakukan oleh umat Islam secara berjamaah di masjid-masjid mereka. Ini menambahkan lagi seri dan kerancakan aktiviti bulan Ramadhan. Menjadi salah satu amalan yang mampu menghapuskan sebahagian titik-titik hitam kesan kesalahan dan kesilapan masa lalu yang dilakukan oleh anak Adam. Dengan pensyariatan puasa di siang hari dan Terawih di malam hari, ini telah melayakkan bulan Ramadhan digelar sebagai bulan Rahmah dan Maghfirah, bulan rahmat dan keampunan, lantaran setiap detik dalam bulan mulia ini memiliki aktiviti tersendiri. Rasulullah saw bersabda:

(من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه )

(Sesiapa yang membangunkan malam-malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharap keampunan, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu).

Tetamu ramadhan,

Mengerjakan Terawih berterusan dan dengan penuh iltizam, akan mampu menebus sebahagian dari dosa-dosa yang kita lakukan. Lantaran itu pastikan kita tidak tertinggal satu malampun dari mengerjakan Terawih. Kalaulah biasanya kita tidak mahu ketinggalan dari membeli barang-barang ketika harga runtuh yang Cuma datang 3 kali setahun atau apa yang disebut sebagai perayaan ‘Mega Sale’, maka sewajarnya kita perlu merasa lebih beruntung kerana kita masih diberi kesempatan untuk memborong pahala sepanjang bulan ramadhan yang menjanjikan diskaun besar-besaran terhadap dosa lampau, sedang bulan ini Cuma datang setahun sekali….

Tetamu ramadhan,

Mana mungkin anak Adam yang lemah ini terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa, mustahil. Lantaran kautlah sebanyak mungkin air suci dari telaga keampunan ramadhan iaitu dengan melaksanakan puasa sebaik mungkin di sian g hari dan melaksanakan solat Terawih pada malam-malam ramadhan.

Tetamu ramadhan,

Apabila menyebut solat Terawih, kita dapati terdapat pelbagai pendekatan yang dilakukan untuk menarik minat orang ramai mengerjakannya. Sesetengah Masjid mejemput Imam dari luar yang hafaz al-Quran untuk mengimami solat terawih sepanjang bulan ramadhan, sesetengahnya pula memilih untuk melakukan solat Terawih sebanyak 8 rakaat dan tidak kurang juga yang mengekalkan solat Terawih 20 rakaat dengan bacaan ayat lazim berimamkan imam yang cepat bacaannya.

Kita mengingatkan para Imam yang mengimamkan solat terawih sepanjang bulan ramadhan supaya menjaga kualiti solat Terawih mereka. Adapun mempercepatkan bacaan dan gerak-geri solat hingga meninggalkan perkara-perkara sunat dalam solat dan rukun utama iaitu ‘Thoma’ninah’ bukanlah solat yang mampu mengampun dosa, kerana yang diperkirakan oleh Allah swt ialah kualiti solat, bukan kuantitinya.

Imam Bukhari, Muslim dan ashab al-Sunan meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah saw tatkala melihat seorang lelaki solat didepannya dengan meninggalkan ‘Thoma’ninah’ baginda memerintahkan lelaki itu:

(ارجع فصل، فإنك لم تصل...اركع حتى تطمئن راكعا، واعتدل حتى تطمئن قائما، واسجد حتى تطمئن ساجدا، واجلس بين السجدتين حتى تطمئن جالسا وهكذا)

(Kembali dan kerjakan semula solatmu, sesungguhnya engkau belum solat. …kemudian baginda mengajarkannya…ruku’ sehingga engkau benar-benar thoma’ninah ketika rukukmu, I’tidallah sehingga benar-benar thoma’ninah ketika berdirimu, sujudlah sehingga engkau benar-benar thoma’ninah ketika sujudmu, dan duduklah antara dua sujud sehingga benar-benar thoma’ninah ketika engkau duduk)

Adapun solat Terawih yang dilakukan tanpa menyempurnakan keperluan rukun-rukunnya, maka solat begini dikhuatiri termasuk dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

(تعرج إلى السماء وهي سوداء مظلمة، تقول لصاحبها: ضيعك الله كما ضيعتني)

(diangkat solat itu kelangit, sedang ia hitam lagi gelap gelita. Lalu Solat itu berkata kepada tuannya: Allah mencuaikanmu seperti mana engkau mencuaikanku).

Tetamu ramadhan,

Rasanya lebih bermakna andainya kita bawa bersama keluarga kita menghadiri solat Terawih berjamaah di Masjid. Di samping menunaikan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim, dalam masa yang sama mampu memperkukuhkan lagi ikatan kekeluargaan antara kita. Begitu juga, dengan membawa anak-anak ke Masjid, mampu menjadi latihan dan didikan kepada mereka untuk mendampingi masjid. Melihat jumlah umat Islam yang ramai ke Masjid dalam bulan Ramadhan juga mampu memotivasi anak-anak kita untuk lebih bersemangat mengerjakan ibadah dan belajar hidup bermasyarakat. Lantaran begitu banyaknya kepentingan membawa keluarga ke masjid, Rasulullah saw bersabda:

(إذا استأذنكم نساؤكم بالليل إلى المسجدىفأذنوا لهن)

(Apabila isteri-isteri kamu meminta izin untuk ke Masjid di malam hari, maka berilah keizinan kepada mereka). (HR Bukhari).

Tetamu ramadhan yang dirahmati Allah,

Untuk lebih memperolehi kelebihan ketika mengerjakan Terawih bersama imam, pastikan kita berjamaah bersama imam dari mula hinggalah sesolat yang terakhir. Ini kerana orang begini sahaja yang dapat kelebihan terawih yang sebenarnya dan dikira seolah-olah ia telah menghidupkan malam keseluruhannya, walaupun kebiasaannya kembali dari masjid ia terus tidur hingga tiba waktu sahur. Namun orang begini tetap dianggap telah memakmurkan sepanjang malamnya. Rasulullah saw bersabda:

(إن الرجل إذا صلى مع الإمام حتى ينصرف حسبت له قيام ليلة)

(Sesungguhnya apabila seorang lelaki itu solat terawih bersama imam dari mula hinggalah imam beredar (selesai), maka dikira ia telah mendirikan keseluruhan malam). (HR Abu Daud dan Tarmizi).

Untuk itu Tetamu ramadhan,

Pastikan kita tidak terluputpun satu malam dari mengerjakan Solat Terawih berjamaah….bukan hanya diawal ramadhan…malah berterusan hingga ke malam terakhir ramadhan. Jangan kita jadi seperti sesetengah orang yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ cuma sanggup beratur di dalam sof Terawih di awal-awal ramadhan, tapi bila dah dipenghujung bulan, ia lebih banyak menghabiskan masa beratur di kaunter bayaran sempena musim Mega Sale yang biasanya diadakan dalam bulan Ramadhan.

Apapun, mudah-mudahan terus bersemangat dan amalan kita diterima oleh Allah.

2 comments:

  • abdullah hj hassan says:
    November 18, 2008 at 10:36 PM

    Assalamualaikom!
    Ada sekeping gambag tengah belah durian. Kalau nak tolong bagi emel ke genghiz77@yahoo.com
    Wassalamualaikom!

  • SARIP BIN ADUL says:
    November 19, 2008 at 2:37 AM

    Syukran Ustaz...kalau nak hantar gambar tu jgn kosong, sertakan dgn lempuk durian sekali. Tahun depan kita naik gunung, ana nak joint...