Friday, August 22, 2008

PILIHAN HIDUP

Sering orang bertanya kepada saya tentang calon pilihan hatinya untuk mendirikan rumahtangga samada 'ok' atau 'tidak'. Atau...kadangkala saya sendiri bertanya kepadanya, adakah dia benar-benar yakin dengan calon pilihannya. Itu kalau tujuannya memang untuk berumahtangga...kalau sekadar 'teman' berpeleseran, kaedah penghakimannya cukup jelas bahawa Islam meletakkan label 'haram' walau apapun tujuan dan objektifnya.
Jawapannya memang sukar, ini kerana kefahaman dalam memahami jawapan juga berbeza. Setiap orang berbeza dalam memahami peranan dan tujuan membina rumahtangga. Ada orang berumahtangga sekadar untuk menjadi tempat melampiaskan nafsu secara halal. Itupun mungkin setelah puas hidup bergelumang dengan dosa dan noda…Ada pula yang memang menjadikan rumahtangga sebagai pintu masuk untuk memperbaiki diri dan bertaubat kepada Allah. Ada pula yang menjadikan rumahtangga yang dibina untuk mendapat ketenangan, zuriat yang mewarisi harta dan keturunannya.
Namun ada orang yang meletakkan rumahtangga begitu tinggi martabatnya. Baginya ia medan perjuangan dan asas pergerakkannya dalam dakwah. Bahkan baginya rumahtangga merupakan asas kedua selepas pembinaan diri dalam usahanya memulihkan semula khilafah Islamiyyah dan mengembalikan ketamaddun Islam di atas muka bumi.
Perbezaan mengenai peranan dan fungsi rumahtangga menyebabkan perbezaan dalam proses pemilihan calon pasangan. Sama halnya dengan proses memilih peralatan untuk membina rumah. Tiangnya saja pasti berbeza berdasarkan jumlah tingkat rumah yang bakal didirikan. Kalau rumah itu Cuma setingkat, mengunakan kayu sebagai tiangnya mungkin sudah memadai, tapi kalau 100 tingkat? Pasti hanya konkrit yang paling kukuh untuk digunakan bagi membentuk tiangnya.
Seorang pemuda atau pemudi yang memahami bahawa hidup dan matinya adalah untuk perjuangan dan rumahtangganya juga rumahtangga perjuangan, pastinya pasangan yang dipilihnya adalah pejuang. Mana mungkin tiang konkrit mampu dipadankan dengan tiang kayu bagi membentuk bangunan yang tinggi tingkatnya. Pasti lambat laun akan runtuh atau sekurang-kurangnya tonjong ke arah tiang yang rapuh tadi.
Justeru itu tentukah halatuju rumahtangga baru fikir tentang ciri-ciri pasangan yang akan dipadankan bersama diri sendiri dalam membentuk warna dan mengemudi bahtera menuju matlamat terakhir rumahtangga. Adapan ‘pilih dulu’ baru fikir matlamat dan halatuju akan lebih menyusahkan diri sendiri kerana kita terpaksa menyesuaikan matlamat dengan kemampuan barangan yang ada, sedangkan sepatutnya perkakasan disediakan bersesuaian dengan matlamat yang ingin dicapai…
Apapun diakhirnya nanti apabila matlamat yang diharap tak tercapai, kebahagiaan yang diimpi sekadar mimpi…jangan salahkan orang lain kerana apa yang anda petik ketika itu adalah hasil kesilapan anda ketika bertanam.
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِداً
"Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana"(al-A'raf:51)

1 comments:

  • Muhammad Umar Sarimal (Mus) says:
    October 27, 2008 at 5:30 PM

    "Namun ada orang yang meletakkan rumahtangga begitu tinggi martabatnya. Baginya ia medan perjuangan dan asas pergerakkannya dalam dakwah. Bahkan baginya rumahtangga merupakan asas kedua selepas pembinaan diri dalam usahanya memulihkan semula khilafah Islamiyyah dan mengembalikan ketamaddun Islam di atas muka bumi." -Abu Syifa`-

    Perenggan ini amat memberikan kesan di dalam diri saya. Walaupun ianya bukan mudah, tetapi demi memastikan keluarga yg dibina itu diberkatiNya dan bagi menjamin kesinambungan perjuangan islam, suka atau tidak ia mesti dicapai secara tuntas. tq abg sarip...entri yg amat baik terutamanaya bagi `pencinta-pencinta kampus`. hehe..