Thursday, February 4, 2010

HAI UMM QAIS (2)

Ada beberapa orang akhawwat berdiskusi dengan ku mengenai entri Hai Umm Qais (1) yang ku tulis dalam blog. Kata mereka, memang sepatutnya demi kelangsungan perjuangan seorang akhawwat dalam rumahtangga dan kehidupannya, ia perlu mencari teman hidup sefikrah. Ini kerana suaminya kelak pemimpin dirinya. Tapi masalah sekarang akhawwat yang memiliki kesedaran jauh lebih ramai dari ikhwah, sudah pasti menjadi kesukaran akhawwat mencari pasangan yang memiliki kefahaman yang sama. Jadi tidak salah ia mencari ‘orang lain’?. Lama juga aku berfikir, pandangan akhawwat-akhawwat itu memang ada logiknya dari beberapa sudut...Memang aku akui berdasarkan sedikit pengalaman, akhawwat lebih mudah menyahut seruan dakwah berbanding lelaki . Mungkin disebabkan akhawwat lebih ramai bilangannya di institusi kecemerlangan akademik seperti IPT dan lain-lainnya atau kelembutan wanita menyebabkan mereka mudah menerima kebaikan? Mungkin juga kerana bilangan wanita lebih ramai dari lelaki masa kini?. Apapun aku sendiri belum jumpa kajian yang mampu dijadikan bahan bukti sejauhmana istiqamah akhawwwat perjuangan khususnya selepas keluar dari alam pengajian dan setelah berumahtangga. Mungkin di tangan sahabat-sahabat ku yang lebih luas pengalaman ada data terperinci mengenai perkara tersebut.


Aku bertanya balik kepada akhawwat-akhawwat tersebut, kalaupun kenyataan akhawwat melebihi ikhwah hingga menyukarkan mereka memilih rakan sefikrah, tapi sejauh mana mereka telah berusaha untuk mencari pasangan yang memiliki fikrah dan kemahuan perjuangan yang sama untuk dijadikan pasangan? Adakah dia telah berusaha bersungguh-sungguh melalui saluran pelbagai? Bukankah mencari pasangan sebegitu satu tanggungjawab, satu amanah dan satu jihad? Bukankah kita telah setuju meletakkan ‘rumahtangga’ sebagai landasan kedua selepas pembinaan peribadi dalam proses mengembalikan khilafah Islamiyyah? Atau kita ada teori perjuangan baru yang lebih pintas dari jalan tersebut? Atau kita sebenarnya masih kurang yakin dengan teori perjuangan tersebut? Kalau begitu kalian memang tidak bersama rombongan kami…kita berada di perahu yang berbeza. Tapi ‘masalahnya’ kalian sendiri yang mengatakan ‘yakin’ dengan teori tersebut dan ingin keseberang dengan perahu yang sama dengan perahu kami. Sepatutnya bila sudah yakin, kenalah berjihad mempertahankannya dan berusaha ke arah perlaksanaannya.

Persoalannya: apa usaha yang telah ukhti lakukan? Berapa kali ukhti berusaha? Mudahnya ukhti berputus asa? Bukan kah kemenangan itu bagi orang yang sanggup bersabar walau sesaat?Apatah lagi kalau anda langsung tidak pernah melakukan 'satu' usaha pun...

Tambah ku lagi…andainya semua usaha tidak membuahkan hasil dan putera yang dicita-citakan tidak kunjung tiba sedang di sana ada lelaki lain yang memiliki nilai-nilai murni untuk dijadikan pasangan bagi memperolehi zuriat yang halal…aku juga tidak berani mengatakan ‘jangan’, bahkan aku akan berkata: 'teruskan dengan pemantauan murabbiahmu. Teruskan ...tapi di atas kepala kalian ada amanah yang sangat berat di dunia dan pasti dipersoalkan di akhirat. Antaranya:

Pertama: Ukhti wajib memastikan kesudahannya pasangan tersebut mengimani fikrah ukhti dan memperjuangkan perjuangan ukhti. Kalau ini tidak berlaku, pastinya ukhti sendiri akan menyesalinya suatu ketika nanti. Ini bererti sepanjang perkahwinan, mad’u ukhti yang pertama dan utama ialah suami ukhti. Ini memerlukan ukhti memiliki kekuatan yang tinggi untuk mentarbiah lelaki bergelar suami dan suami ukhti pula dari jenis yang boleh ditarbiah oleh isteri. Ada yang berhujah mengenai kehidupan Zainab al-Ghazali, diapun berkahwin dengan orang yang tidak seperahu dengannya…namun kekal istiqamah dalam perjuangannya setelah keluar dari penjara? Tapi adakah tarbiah kita semantap tarbiah zainab al-Ghazali? Mana perginya akhawwat-akhawwat yang pernah berhujah dengan perkahwinan zainab al-Ghazali kini? Masa akan menentukan…

Kedua: Ukhti perlu memastikan yang perkahwinan itu tidak menyebabkan ukhti futur dari perjuangan. Ukhti mampu berjalan lancar di atas jalan dakwah ini dan menunaikan amanah tarbiah yang diwariskan kepada ukhti. Ini kerana tarbiah dan perjuangan ini satu amanah berat. Setiap kecuaian takut melambatkan perancangan dan agenda besar dakwah. Pastinya ukhti tidak mahu menjadi penyebabnya?Ukhti akan dimuhasabah dengan hisab yang berat di akhirat nanti. Yakinlah…

Apatah lagi kalau ukhti tergolong di kalangan mutasaqitat dari landasan perjuangan yang ukhti sendiri kata: yakin. Takut ukhti akan tergolong di kalangan mereka yang difirmankan oleh Allah:

وَمَنْ يُوَلِّهِمْ يَوْمَئِذٍ دُبُرَهُ إِلَّا مُتَحَرِّفًا لِقِتَالٍ أَوْ مُتَحَيِّزًا إِلَى فِئَةٍ فَقَدْ بَاءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأْوَاهُ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (16

Maksudnya: “dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu – kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain – maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali”. [al-Anfal: 16].

Ketiga: Ukhti mampu mewariskan fikrah dan perjuangan ukhti pada diri anak-anak walau suami ukhti yang juga ketua keluarga tidak sefikrah dengan ukhti. Ini menyebabkan ukhti mengambil alih tugas memimpin keluarga dalam tarbiah dari suami ukhti. Perjuangan ini perlu diwariskan agar anak-anak ukhti mampu menjadi generasi penerus dalam agenda besar perjuangan. Bagaimana ukhti dahulu dibentuk, begitulah juga sepatutnya ukhti membentuk anak-anak ukhti. Bahkan ukhti telah terhutang budi pada fikrah dan perjuangan ini, kerananya ukhti jadi manusia hebat berbanding masa silam. Untuk membalas jasa dan sumbangan fikrah ini, ukhti perlu memastikan ada pewaris khususnya keluarga ukhti…itulah mafhum sebenar pembinaan keluarga selepas pembinaan peribadi.

Jika ukhti mampu melaksanakan semua tuntutan dakwah seperti di atas, insya Allah, kami doakan kesejahteraan untuk ukhti dan ukhti sebaris dengan zainab al-Ghazali. Ingatlah semua murabbi dan kawan-kawan setarbiah ukhti akan menyaksikan adakah ukhti telah benar-benar menunaikan tanggungjawab tersebut dan mengotakan janji ukhti pada diri, murabbi dan perjuangan ukhti. Firman Allah dalam ayat 55 surah az-Zaariyat :

وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين

Maksudnya : Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatkan kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman.

Adapun sengaja memilih orang yang langsung jauh dari kesedaran Islam, tidak berakhlak dan leka dengan kenikmatan dunia. Waktu itu tidak berkahwin lebih baik dari berkahwin. Kecualilah ukhti sehebat Asiah isteri Firaun dan ada murabbi sehebat Musa AS. Kami rasa akhawwat yang sudah ditarbiah bertahun-tahun tidak akan berbuat demikian…Kalau diteruskan juga, itu tandanya ukhti telah melebihkan kecintaan terhadap dunia melebih perjuangan ini...kami berlepas diri dari apa yang bakal menimpa diri..

Aku berkata kepada akhawwat-akhawwat tersebut, bahawa itu Cuma pandanganku. Mana-mana murabbi akan memberi pandangan seideal mungkin demi kelangsungan tarbiah anak didiknya. Sepatutnya menjadi tanggungjawab seorang mutarabbi menilai dengan teliti pandangan murabbinya. Jika semua itu tiada, tiadalah makna tarbiah. Bahkan dakwah ini sampai masanya memerlukan al-Indhibat dan al-Sam’u wa al-Ta’ah. Itulah manhaj yang kita fahami.

Namun seandainyanya mutarabbi memilih pandangan yang lain, itu haknya sebagai manusia yang dianugerahkan kebebasan memilih. Apapun, ia perlu membuktikan pandangannya betul di alam realiti. Kecualilah ukhti jadikan perjuangan ini sekadar tempat persinggahan alam remaja, bukannya nyawa pengerak kehidupan seluruhnya. Ukhti sendiri menentukan pilihan, tanggungjawab kami sudah selesai dengan memberi ilmu, didikan dan bahan berfikir, itu sahaja yang mampu kami berikan sebagai tanda sayang teramat sangat dan nilai ukhuwwah dari kami…mungkin kami berfikir terlalu ideal melebihi ibubapa kalian, ini kerana kami ingin menjadikan kalian pejuang sedangkan impian ibubapa ukhti mungkin berbeza…kami mengaku, mungkin pandangan kami salah dan pandangan kalian betul..kami cuma berijtihad sesuai dengan manhaj dakwah yang kami fahami, mudahan ada pahalanya…sampai masa kalau ukhti berada di tempat kami, kalian juga akan diajukan persoalan yang sama…waktu itu kalian juga akan berijtihad seperti kami. Semoga Allah memberikan apa yang kalian diimpikan, andainya impian tidak menjadi kenyataan dan gagal!…cukuplah bahan ini dijadikan muhasabah semula kerana waktu itu selayaknya kami berdiam diri. Sabda Rasulullah SAW: Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Pesan Imam Abu Hanifah:

لا تحدث فقهك من لا يشتهيه
(Jangan kau bicarakan fiqhmu pada mereka yang tidak berselera mendengarnya)


Mudahan dengan berdiam diri, kami tidak menyakiti sesiapa…Itulah tahap tertinggi ukhuwwah kami.

Ampun maaf kalau ada yang terasa dengan kisah Umm Qais…

Baca Selanjutnya »»

Wednesday, February 3, 2010

MEREKA MASIH TAK TAHU....


3 Febuari 2010/ 19 safar

Tadi pagi sewaktu melintas di Teluk Likas dari KK ke UMS, aku lihat ramai orang picnic di pantai. Aku bertanya dengan orang rumah, apasal pula mereka berkelah pada hari rabu. Hari inikan hari kerja. Dari jauh aku yakin orang ramai yang datang berkelah itu orang Islam. Mereka datang berkeluarga. Bahkan ramai orang tua yang ikut dengan memakai kopiah.


Aku baru ingat, hari ini hari rabu terakhir bulan safar. Hari diturunkan bala menurut kepercayaan khurafat sebilangan masyarakat Islam dan masih diamalkan oleh sebilangan orang Islam di Sabah. Bila tiba hari rabu terakhir bulan safar mereka akan pergi ke pantai-pantai untuk mandi tolak bala. Kononnya pada bulan safar akan turun bala Allah SWT dan untuk mengelaknya mereka perlu mandi atau minum air yang telah dijampi atau diletakkan daun yang di tulis dengan apa yang mereka namakan ayat salamun ‘penyelamat’.

Waktu kecil dulu, di kampung akupun kami buat perkara yang sama. Cuma tidaklah mandi di pantai sebab kampung kami jauh dari pantai. Mandi di perigi sahaja. Pada hari tersebut tiada siapa dibenarkan bekerja, takut kena bala. Mereka akan minum air yang direndam di dalamnya ayat salamun yang ditulis pada daun (aku tak ingat nama daun, tapi biasa ditanam di kawasan perkuburan). Setahu aku waktu tu Cuma ada tiga orang sahaja yang pandai menulis ayat tersebut dan dibekalkan kepada setiap keluarga di kampung. Pertama, datuk aku yang juga ketua kampung. Kedua, bapaku yang juga imam kampung dan ketiga….aku sebab dari kecil aku dah pandai tulis jawi…Pada hari tersebut satu kenduri tolak bala sekampung diadakan.

Tapi semenjak akhir 80 an amalan tersebut dihentikan. Ini kerana datuk aku meninggal dunia, bapa aku pula dah faham bahawa amalan itu mengarut dan ia sudah tak mahu menulis ayat salamun lagi. Aku pula dah sekolah agama….dah faham..he he. Bila tiga pembekal ayat salamun dah tak menjalankan tugas mereka menyelamatkan orang kampung dari bala, amalan itu berhenti dengan sendirinya. Syukur kepada Allah, kampung kami bertambah makmur. Jalanraya ke kampung kami antara yang terbaik di Lawas, begitu juga pembangunan yang lain…berkat tak minum air salamun dan kebetulan YB kawasan kami berjiran kampung dengan kampung kami.

Rasulullah SAW pernah bersabda :
لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَلَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ
(Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung, tiada bala bulan Safar dan larilah engkau dari orang yang berpenyakit kusta seperti mana engkau lari dari singa.) (HR Bukhari)

Hadith inilah yang ku jadikan khutbah pertama yang ku baca dalam hidupku. Waktu itu aku berada di Tingkatan 2 dan balik bercuti hujung tahun di kampung. Aku satu-satunya pelajar yang bersekolah agama dan waktu itu satu-satunya sekolah agama di Sarawak ialah SMKA Sheikh Hj. Othman Abdul Wahab, Matang, Kuching. Hadith itu terkandung dalam buku matapelajaran Agama Islam Tinggi tingkatan 2. Balik rumah, hangat perdebatan aku dengan bapaku. Ia marah dengan khutbahku yang menyentuh isu bulan safar. Maklumlah ia tuan imam dan menulis ayat salamun tu sebahagian side income dia bulan safar. Syukurlah selepas beberapa tahun, ia boleh terima hadith tu.

Bila melihat umat Islam yang masih menyambut perayaan tersebut, sayu rasa hati. Alangkah masih ramainya lagi umat Islam di negeri ini yang belum faham sepenuhnya agama mereka. Aku tak salahkan mereka. bahkan yang salah ialah aku dan orang sepertiku yang belum berusaha bersungguh-sungguh untuk menyebarkan fikrah Islam yang sahih kepada masyarakat. Padahal isu ini adalah teras agama kerana berkaitan dengan soal akidah. Lagi sedih bila mendengar sudah mula berlaku perdebatan antara umat Islam dalam masalah akidah. Isu sifat 20, akidah 3 serangkai, isu takwil dan lain-lain mula dibongkar semula. Padahal perbalahan umat Islam antara punca utama keruntuhan Tamadun Islam dahulu. Lebih baik masa yang ada digunakan untuk mendidik mereka yang begitu jauh dari kefahaman agama dari menghabiskan masa dengan bertelagah sesama sendiri.

Mudahan para da’ie yang ada di negeri ini sanggu memberi lebih masa untuk menyebarkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam. Harap mereka tidak begitu seronok berusrah sendiri hingga lupa menyediakan ruang untuk memasyarakatkan kefahaman mereka.

Baca Selanjutnya »»

Monday, February 1, 2010

JANGAN YAKIN SANGAT.....



“Dia mungkiri janji, dulu dia minta saya sayangi dia, yakini dia….bila saya pasrahkan perasaan saya bulat-bulatnya, ia khianati saya, tinggalkan saya”, dialog yang biasa kita dengar bila orang ditinggalkan. Kadangkala ‘bertong’ airmata dicurahkan bagi meratapi kehilangan orang yang tersayang. Aku sendiri sering menjadi tempat orang menangis mencurah rasa, di kalangan lelaki dan wanita.


Mempercayai janji manusia secara bulat memang kerja yang bodoh, apatah lagi soal cinta. Selagi belum sempurna ‘aku terima nikahnya’ yang disahkan oleh dua saksi, selagi itu peluang untuk ‘dikhianati’ masih terbuka luas. Cukup dengan SATU alasan sahaja…janji itu akan musnah. Maklumlah bukan ada sebarang kontrak bertulis yang boleh dijadikan bukti di mahkamah.

Justeru itu, janganlah meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada janji seorang manusia. Cuma janji Allah dan RasulNya SAW yang mesti diyakini. Adapun janji manusia…jujur manapun pengakuannya, dia Cuma manusia yang hatinya boleh berubah bila-bila masa. Rasulullah SAW pun pernah menasihatkan:

أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا


(Cintailah orang yang kau cinta berpada-pada, kerana kemungkinan ia akan menjadi kebencianmu suatu hari nanti. Bencilah orang yang kau benci berpada-pada kerana kemungkinan ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti). Riwayat al-Tarmizi secara marfu' kepada Rasulullah s.a.w. dan secara mauquf kepada Ali. Riwayat mauquf sahih dan marfu' dhaif. Sunan al-Tarmizi. Jil. 4 Hal. 340 No. 1997.

Apabila hal ini berlaku, yakinilah janji Allah bahawa ia sebenarnya inginkan yang terbaik untuk hidupmu. Perjalanan rumahtangga itu panjang, mungkin kalau pun ia hadir ia sekadar dayung yang mudah reput. Separuh perjalanan ia akan patah dan terpaksalah kita menongkah arus hanya dengan tangan sendiri.

Anggaplah ia satu rahmat Ilahi kepada anda kerana awal-awal lagi terbedah kekhilafan dirinya sebelum bahtera rumahtangga benar-benar terbina. Waktu itu anda sangat perlukan orang yang sanggup menerima anda seadanya, memberi cinta tulus dan kesetiaan semaksimum mungkin untuk melayari lautan perjuangan yang luas bergelora. Jangan sampai di saat genting baru terserlah 'kelemahannya'. Ingatlah janji Allah:

وعسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لاتعلمون

Boleh jadi suatu yang kamu benci merupakan suatu yang baik untukmu dan boleh jadi pula suatu yang kamu suka merupakan suatu yang buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. (al-Baqarah: 216)

Kita pula jangan mudah sangat berjanji itu dan ini. Takut kelak memakan diri. Lihatlah dulu kemampuan diri. Kalau memang track record kita jenis tidak setia, eloklah tidak perlu berjanji banyak-banyak. Kelak bila orang terasa ia dikhianati oleh kita, tidak mustahil akan tercetus rasa kebencian dan dendam berpanjangan. Tidak mustahil ia ingin kita tersilap langkah dan janji lama memakan diri sendiri.

Yang lebih penting perlu diingat, janji kita untuk memperjuangakan agamanya dalam diri, rumahtangga dan negara. Janji itu akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil di akhirat kelak.

Anggaplah kesedihan yang ada mengajar kita untuk mengenali tabiat manusia. Mengenali erti kejujuran sebenar. Mengenali ‘bidang keutamaan’. Kalau pun ia kegagalan, itu juga suatu ilmu untuk kita merancang masa depan perjuangan yang lebih matang dan berjaya.

Lagipun anda cuma baru ditinggalkan oleh seorang manusia. Asalkan anda kekal baik dan terus memperbaiki diri, ramai orang-orang soleh menanti anda di sudut lain dunia ini. Waktu itulah masanya anda memilih yang terbaik dan terpilih.

Baca Selanjutnya »»

AKHAWWATKU.......


Baru balik dari program mingguan bersama puteri-puteri yang sudah hampir 3 tahun bersamaku membincangkan perjuangan hidup. Al-Hamdulillah setakat hari ini mereka masih istiqamah dengan kefahaman mereka. Aku tidak pernah meminimumkan 'priority' pada mereka seperti mana aku memberi 'priority' kepada putera-puteraku. Kalaupun ada perbezaan, ini kerana Islam membezakan mereka pada beberapa perkara.

Syukur dalam perjalanan yang agak panjang, pelbagai topik dibincangkan. Pelbagai persoalan cuba dirongkai. Sama-sama menilai hidup dan permasalahannya untuk dijadikan pedoman dalam menelusuri masa depan. Bahkan..sudah pelbagai topik buku dihabiskan...mudahan kita sama-sama mampu melaksanakannya semaksimum mungkin dalam kehidupan.


Mentarbiah akhawwat memang ada kelainannya berbanding dengan ikhwah. Alhamdulillah, aku diberi izin oleh Allah untuk terlibat dalam mendidik kedua-dua gen ini. Walaupun silibus perbincangannya sama, tapi pengkhususan tetap berbeza. Akhawwat akan menjadi isteri kepada seorang ‘pejuang’ yang bukan sahaja memimpin keluarga, bahkan menjadi pemimpin massa. Pastinya tugas mereka seberat ummahatul mukminin dalam memotivasi suami agar terus kukuh dan agresif dalam perjuangan. Kerja sebenarnya kelak adalah menjadi sekolah baru dalam rumahangga yang bakal melahirkan generasi baru yang mewarisi perjuangan. Mereka bertanggungjawab memastikan kesinambungan perjuangan ini berterusan. Ini tidak menafikan peranan mereka di luar rumah dalam mendidik puteri-puteri sejenisnya. Kata Hassan al-Banna:
“Islam berpandangan wanita mempunyai tugas yang sesuai dengan semulajamereka iaitu di rumah dan bersama anak-anak. Sebagai anak gadis dia perlu mempersiapkan dirinya untuk memikul tanggungjawab keluarga di masa depan. Sebagai isteri dia perlu memberikan seluruh tumpuannya kepada rumah dan suaminya. Sebagai ibu dia perlu berkhidmat untuk suami dan anak-anaknya. Dia perlu memberi tumpuan kepada rumahnya. Dia adalah surirumah dan pengurus rumahtangga. Apakah dengan segala urusan rumahtangga ini wanita ada masa lapang untuk melakukan perkara-perkara lain…?” (Risalah Wanita Islam)

Akhawwat, walaupun terkenal amat berminat dengan program-program tarbiah, tapi cabaran yang perlu mereka hadapi untuk terus istiqamah juga sangat hebat. Tatkala serangan musuh banyak tertumpu kepada mereka, potensi untuk gugur sangat tinggi. Lihat saja cara berpakaian dan gaya hidup wanita masa kini. Tidak mustahil memikat hati mereka yang memang sukakan keindahan dan kecantikan.

Lantaran itulah Rasulullah SAW memotivasi umatnya agar berbuat baik dengan anak-anak perempuan dan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ فَصَبَرَ عَلَى لَأْوَائِهِنَّ وَضَرَّائِهِنَّ وَسَرَّائِهِنَّ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الْجَنَّةَ بِفَضْلِ رَحْمَتِهِ إِيَّاهُنَّ فَقَالَ رَجُلٌ أَوْ ثِنْتَانِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَوْ ثِنْتَانِ فَقَالَ رَجُلٌ أَوْ وَاحِدَةٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ أَوْ وَاحِدَةٌ

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, maka ia bersabar dengan kesusahan, kesedihan dan kegembiraan mereka, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmatnya atas (syafaat) anak-anak perempuannya”. Berkata seorang lelaki: "Kalau dua orang sahaja wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab:" ataupun dua orang". Maka berkata lagi lelaki itu: "kalau seorang wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah: "walau pun seorang") Riwayat Imam Ahmad. Musnad Imam Ahmad. Jil. 17 Hal. 113 No. 8071

Cabaran kedua yang akan mereka hadapi ialah apabila berumahtangga. Tatkala semakin ramai lelaki yang hilang kelayakannya untuk memimpin rumahtangga, peluang untuk mendapatkan yang terbaik menjadi satu masalah besar. Mencari orang yang memahami apa yang ia faham, meyakini apa yang ia yakini dan memperjuangkan apa yang ia perjuangankan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun ia perlu berusaha mendapatkannya. Ini kerana, suaminya kelak akan banyak menentukan halatuju perjuangannya. Suami itu pemimpin keluarga. Suami ketua yang membentuk budaya rumahtangga. Isteri kebiasaannya akan terikut-ikut dengan sikap dan cara suami. Mungkin di peringkat awal wujud unsur bertolak ansur, tapi bila perkahwinan semakin panjang, pengaruh suami pastinya lebih dominan.

Akhawwat perlu berusaha mencari calon suami dalam komuniti fikrahnya sebelum menyerahkan jodohnya pada ketentuan takdir.

Kesilapan besar dalam mentarbiah akhawwat apabila tumpuan sekadar diberikan pada pembentukan peribadi dan membiarkan ia terkial-kial menentukan halatuju perjuangannya dalam rumahtangga. Sedangkan rumahtangga adalah medan sebenar mereka. Bahkan marhalah kedua dalam perjuangan mengembalikan ketuanan Islam di atas mukabumi (Ustaziatu Alam). Kecualilah kita delete kan sahaja peranan rumahtangga dalam agenda perubahan (manhaj tagyir) yang disepakati bersama.

Cabaran ketiga yang sering memfuturkan akhawwat ialah kerjayanya. Pastinya ia ingin menjadi pekerja yang terbaik di pejabat dan surirumah terbaik di rumah. Dua posisi dan tugasan yang sangat memenatkan. Ini akhirnya menyebabkan akhawwat hilang pedoman dalam menentukan priority. Ramai yang tidak sedar bahawa ia telah futur lantaran berpegang pada prinsip semua itu adalah ‘ibadah juga’. Tapi ia terlupa peranan sebenarnya dalam menyuntik kefahaman perjuangan pada akan-anak dan mewariskan kefahaman tersebut dalam diri mereka. Waktu ini kewujudan ‘suami mithali’ yang terus memberinya kekuatan, suntikan semangat dan meringankan bebannya ketika di rumah.

Lantaran itulah dalam mentarbiah ikhwah, murabbi perlu memberi fikrah yang sama kepada lelaki. Memahamkan tugas dan peranannya setelah berumahtangga, disamping tanggungjawab terhadap ummahnya. Keseimbangan pentarbiahan kedua-dua gen ini akan menentukan bentuk, warna dan corak rumahtangga yang mereka bina.

Mudah-mudahan kedua-dua gen yang sempurna pentarbiahan ini mampu disatukan dalam rumahtangga dakwah. Rumahtangga yang fikrah, kefahaman, halatuju hidup dan perjuangan adalah sama. Mudahan rumahtangga itu mampu menjadi bahtera dalam lautan perjuangan yang kukuh kesatuan ahli-ahlinya dan sama arah kompasnya. Kalaupun ada cabaran bukanlah pada perkara pokok (fikrah, objektif dan manhaj) tapi pada perkara cabang…ini kerana tidak akan ada rumahtangga yang langsung tidak ada masalah.

Mungkin impian ini terlalu ideal, tapi itulah tabiat dakwah ini. Itulah objektif sebenar pentarbiahan individu seperti kata Hassan al-Banna:

“Pengislahan individu ini sudah tentu membawa kesan kepada keluarga kerana sebuah keluarga dibina oleh sekumpulan individu. Apabila lelaki dan wanita yang merupakan struktur asas sebuah keluarga menjadi baik, mereka berdua akan mampu membina sebuah keluarga contoh yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam’.

Buat puteri-puteriku, abi doakan moga kalian terus thabat di atas jalan yang lurus. Dipertemukan ‘rijal’ yang rujulahnya mampu memimpin rumahtangga kalian dan sekelilingnya dengan fikrahnya. Amin.

Baca Selanjutnya »»

Saturday, January 30, 2010

MENANAM BENIH TARBIAH


Mentarbiah tidak semudah yang dijangkakan....

Walaupun telah khatam pelbagai kitab dakwah dan lengkap modul akademiknya, tapi murabbi sebenarnya cuma memiliki teori yang praktikalnya tidak semestinya sama. Umpama seorang petani, diberikan beberapa biji benih. Ia menanamnya di atas sebidang tanah, menyiramnya dengan baja fikrah dan ruhiah. Pelbagai serangga cuba datang mengusik dan memusnahkannya...serangga nafsu, cinta dunia, lupa mati dan lain-lainnya akan menunggu-nunggu masa untuk memakan pohon baru berdaun muda. Tangkas mana pun silat si murabbi dan kuat manapun racun serangga yang digunakan, pasti akan ada pepohon baru yang tumpas.


Apabila pepohon itu sudah besar...ada pula diantaranya sekadar mampu berbunga tetapi tidak mampu berbuah. Ada yang langsung tidak berbunga. Pokok mandul. Nampak cantik, besar dan gagah..tapi tidak mampu menghasilkan sesuatu yang sangat diharapkan iaitu benih baru penyambung specis. Kalau mampu ditebang pohonnya untuk dijadikan perahu atau titi menyeberang parit, memadailah juga. Paling kurang dedaunnya boleh dianyam menjadi atap, syukurlah juga. Tapi ada yang dari akar sampai ke pucuk langsung tidak mampu dimanfaatkan.

Tarbiah mengharapkan lahirnya sebatang pokok yang mampu melahirkan buah yang lebat dan meghasilkan ratusan atau ribuan biji benih baru untuk meneruskan kesinambungan perjuangan.

Satu cabaran lebih besar apabila sang petani terpaksa meninggalkan tanah dan tanamannya...sementara atau selamanya. Pasti tanah dan tanaman terpaksa diamanahkan kepada orang lain. Waktu itu, sang petani baru perlu tahu keperluan tanaman yang sudah mula membesar. Kesilapannya akan menyebabkan pohon yang sudah membesar itu bantut atau mungkin juga mati terus. Hakikatnya banyak pokok yang layu dalam tempoh perpindahan tugas. Mungkin baja yang diguna berbeza atau kuantiti siraman juga berbeza. Jangan hairan, perbezaan kadangkala mendatangkan kebaikan apatah lagi apabila petani kedua lebih mahir mengurus tanaman dari petani pertama yang menyemai benih...

Kadangkala tidak dapat dinafikan sang petani juga ada kelemahan menyebabkan benih yang baik tidak mampu tumbuh dengan subur, begitu juga sang murabbi. Mudahan keikhlasannya bertanam dianugerahi pahala walau hasilnya tidak seperti yang dijangkakan...

وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ» [سورة الأعراف:58

Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Al-Fatir: ayat 32)

Baca Selanjutnya »»

Tuesday, January 19, 2010

KETIKA CINTA BERTASBIH



Malam tadi sempat menonton movie Ketika Cinta Bertasbih 2 bersama puteri sulungku. Tapi bukan di Pawagam, kat komputer rumah je. Dia sangat teruja sebab sudah habis membaca novel karangan Ustaz Habiburrahman al-Syirazi yang cukup laris. Anak remaja paling gemar novel cinta. Aku sendiri tak pernah membaca novel tersebut. Ia memakan masa yang lama untuk dikhatamkan. Melihat movie lebih cepat dan ringkas, walau kata anakku membaca novel lebih puas. Aku akui itu, sebab dulupun aku kaki novel, maklumlah aliran sastera.


Antara fokus utama dalam bahagian kedua, menceritakan pengembaraan Ustaz Kheirul Azzam mencari calon isteri. Berhadapan dengan ibunya yang sangat cerewet memilih calon menantu, mesti cantik, solehah, berpendidikan tinggi dan paling penting berjilbab (tudung labuh). Hampir ke semua yang cuba dilamar oleh Ustaz Azzam adalah melalui orang tengah yang ia thiqah dengan kemampuan dan pengalaman mereka dalam menilai peribadi manusia.

Kataku pada puteriku, itulah cara tebaik dan cara Islam memilih pasangan. Untuk membina rumahtangga yang soleh perlu pasangan yang benar-benar soleh. Menentukan kesolehan seseorang calon tidak sepatutnya berpegang pada pemikiran sendiri bahkan perlu berbincang dengan orang yang pakar. Seperti apabila ingin membina rumah perlu berbincang dengan arkitek dan jurutera. Merekalah yang paling tahu akan keperluan dan bahan apa yang paling cocok untuk orang tersebut. Membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ibubapa dan murabbi yang selama ini menghabiskan masa mendidik mereka amat zalim. Ini kerana, merekalah orang yang paling ingin melihat mereka bahagia.

Menyerahkan tanggungjawab mencari pasangan hidup pada orang yang berkemampuan mungkin makin jarang dilakukan oleh generasi muda kini. Bagi mereka semua itu budaya lama lagi kolot. Orang sekarang pilih sendiri. Tentukan sendiri orang bagaimana yang ia mahu. Baginya kalau sudah cinta segalanya akan baik belaka. Ibubapa sekadar perlu approve sahaja hubungan mereka. Kesannya…makin banyak rumahtangga yang kandas di tengah jalan. Tayar cintanya tidak mampu bertahan lama. Bocor walau sekadar terkena batu kecil yang tumpul. Dulu, cinta yang dipuja itu telah membutakan mata. Tidak nampak cacat cela pasangan, apatah lagi bagi pasangan yang ‘mahir’ menyembunyikan keaiban diri. Nantinya bila sudah dapat yang dipuja, barulah keaiban itu terzahir satu persatu.

Bagi orang seperti Ustaz Azzam, cinta bukan syarat utama pembinaan rumahtangga. Asas paling utama ciri solehah wanita tersebut yang dizahirkan melalui jilbabnya. Peribadi siwanita pula diperakui dan dikenali secara mendalam oleh orang yang menjadi orang tengah. Orang tengah yang ia kenali kejujurannya. Ini kerana orang tengah yang jujur pastinya akan mencarikan calon terbaik dan paling sesuai untuk orang yang memberinya amanah. Ia perlu kenal secara mendalam peribadi kedua-duanya sebelum di pertemukan di hari taaruf. Ia mesti mengambil kira fizikal, usia, akhlak dan fikrah antara yang mencari dan dicari. Kalau sekufu dan match…barulah diperkenalkan. Waktu itu kedua-dua pihak boleh menilai cadangan si orang tengah yang soleh..andai setuju, teruskan untuk prosedur seterusnya. Andainya tidak menepati apa yang dicari, tolak dengan baik. Waktu itu tidak perlulah mereka bermain dengan bara cinta yang sering membakar iman dan maruah diri. Kadangkala memakan masa bertahun-tahun dan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Kalau sudah menepati syarat...solehah, cantik, berakhlak mulia dan berjilbab..pasti cinta akan hadir sendirinya. Bahkan ia terbit dari rasa cintanya kepada pasangannya yang mencintai tuhannya. Cinta waktu itu adalah ibadah yang terbit dari rumahtangga yang dari awal pembinaannya tulus mencari redha Allah SWT.

Ada satu dialog yang menarik dalam movie tersebut apabila Ustaz Azzam mendatangi rumah Ahmad Jazuli, seorang kaya yang pernah mendengar pengajaran Ustaz Kheirul Azam yang membaca kitab al-Hikam karangan Ibn Atoillah…dulu Pak Jazuli pernah menawarkan puterinya pada Ustaz Azzam. Kata Pak Jazuli pada Ustaz Azzam bila ia datang: “…itu foto anak bapa, waktu ia sudah habis di ITB, setelah itu ia melanjutkan S2 di Belanda, pada waktu bapa ketemu nak mas ia sedang pulang selama 2 minggu. Ia minta dicarikan jodoh yang bias membimbingnya membaca al-Quran dan mengimaminya solat. Waktu bapa meliat nak mas mengajar bapa terfikir nak maslah orangnya…”. Ringkas syaratnya: dapat suami yang mampu ajar baca Quran dan jadi imam solat. Kataku pada puteriku, wanita solehah impiannya berbeza dari impian kebanyakan wanita moden masa kini. Bagi mereka memperolehi suami yang boleh membimbing agama dan akhirat mereka lebih diutamakan dari lelaki yang mampu meletak mereka di atas timbunan kemewahan. Ini kerana mengasaskan rumahtangga di atas timbunan harta semata-mata akan memudahkan ia goyah dan berkubur apabila dilanda gempa. Wanita solehah yakin dengan rezeki dan takdir ilahi. Allah juga berjanji bahawa sesiapa bertakwa kepada Allah dijadikan baginya tempat keluar dari permasalahan dan diberikan rezeki dari sumber yang mereka sendiri tidak sangkakan. Yang penting usaha dan mencari sebab.

Ibubapa yang mengharapkan kebahagiaan bagi anak-anaknya di akhirat dan di dunia, mereka akan mendahulukan agama dan akhlak untuk menjadi pasangan hidup anak-anaknya. Bukan harta dan martabat menjadi ukuran. Kiyai Lothfi menikahkan puterinya Ana Altafunnisa Cuma bermaharkan sebentuk cincin dengan Ustaz Kheirul Azzam. Bahkan tidak sempatpun Ustaz muda tersebut bertukar baju apatah lagi menyediakan hantaran yang mahal-mahal. Orang sekarang berkahwin terlalu memfokuskan pada glamour dan aspek luaran melebihi keperluan sebenar. Majlis kahwin yang gah dan hantaran yang banyak angkanya. Bagi ibubapa yang soleh dan faham keperluan rumahtangga sebenar, memiliki menantu yang berakhlak mulia dan soleh/hah sudah cukup menjamin kebahagiaan rumahtangga anak mereka berpanjangan.

Seingatku, sewaktu menghabiskan pengajian 4 Thanawi dulu, di Pondok Bukit Besar, ramai kawan-kawanku yang menerima lamaran dari beberapa keluarga berhampiran pondok. Dalam erti kata lain 'booking' pelajar-pelajar tersebut sebelum ke Universiti al-Azhar untuk menjadi bakal menantu bila habis nanti. Bagi masyarakat pondok, nilai agama merupakan syarat utama memilih menantu. Budak-budak pondok yan terbiasa dengan budaya beragama, mengaji kitab-kitab kuning, berkopiah dan berserban sering menjadi pilihan. Mereka berharap menantunya nanti mampu membimbing puterinya menghayati agama dan memimpinnya ke syurga Ilahi.

Bila berbicara tentang rumahtangga dakwah dan tarbiah, timbul satu masalah bagi anak-anak yang ada kesedaran dan faham perjuangan. Menyerahkan tanggungjawab memilih sahaja pada ibubapa pasti berisiko tinggi, kecualilah ibubapanya memiliki fikrah dan faham perjuangan yang sama sepertinya. Waktu ini murabbi sepatutnya menjadi penasihat utama dan orang yang paling faham dalam menentukan bentuk pilihan. Ini kerana sang murabbi bukan sahaja menilai calon pasangan yang akan dicadangkan pada anak didiknya menepati asas agama, bahkan menyempurnakan keperluan perjuangan. Tapi budaya inipun sudah semakin kurang diamalkan dalam komuniti dakwah.

Apapun, menonton filem tersebut bahagian 1 dan 2, mengingatkan aku alam pembelajaran di Mesir dulu. Apatah lagi filem itu berlatar belakangkan Universiti al_Azhar dan Mesir. Semua itu mengingatkan kesungguhan dan juga kenakalanku sewaktu di sana. Sang Murabbiku lebih mengetahui siapa aku. Apapun kelemahan silam banyak ku jadikan pedoman dalam mendidik ikhwah dan akhawwat yang datang belajar denganku mengenai hidup dan perjuangan. Begitu juga anak-anakku.

Baca Selanjutnya »»
 

Design by Blogger Buster | Distributed by Blogging Tips